Dasar Pengoperasian Pengecualian Daripada Mengikuti Pendidikan Wajib (Penangguhan Ke Tahun 1)

Penyataan Dasar
Penangguhan ke Tahun 1 adalah merupakan satu pengecualian daripada mengikuti pendidikan wajib berdasarkan kohort umur yang diberikan kepada kanak-kanak yang memerlukannya. Namun demikian, penangguhan ini hanyalah satu keistimewaan dan bukannya hak. Persekolahan biasa adalah diutamakan kepada kanak-kanak kerana ia merupakan satu cara untuk kanak-kanak berinteraksi di antara satu sama lain.
 
Punca Kuasa
  1. Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)

Subseksyen 29A(3) Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) memperuntukkan Menteri boleh, jika difikirkan wajar dan demi kepentingan murid atau awam untuk berbuat demikian”, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, mengecualikan mana-mana murid atau mana-mana golongan murid yang dikehendaki supaya mengikuti pendidikan wajib, sama ada secara mutlak atau tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkannya dan patut dikenakan, dan boleh pada bila-bila masa menurut budi bicaranya membatalkan pengecualian itu atau membatalkan atau mengubah atau menambah syarat-syarat itu.

  1. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 14/2002 : Pelaksanaan Pendidikan Wajib di Peringkat Rendah 2003 bertarikh 27 November 2002.
  1. Garis Panduan Pelaksanaan Pendidikan Wajib di Peringkat Rendah Tahun 2003.
Kaedah Pelaksanaan
  1. Kes permohonan penangguhan kemasukan ke Tahun 1;
‘Diputuskan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) selaku Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan dan Guru’.
 
  1. Kategori permohonan pengecualian ialah :
  • kes-kes yang tertakluk di bawah Seksyen 29A - merupakan permohonan ibu bapa kohort murid yang lahir pada atau selepas 2 Januari hingga 15 Januari tahun persekolahan semasa; dan
  • kes-kes yang tidak tertakluk di bawah Seksyen 29A - merupakan permohonan ibu bapa murid yang lahir sebelum 2 Januari tahun persekolahan semasa.
    3.  Pelaksanaan Pengecualian Pendidikan Wajib
Pemohon hendaklah mengemukakan alasan-alasan yang munasabah berdasarkan prinsip utama pengecualian kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.
 
  1. Golongan murid yang diberi pertimbangan khas untuk pengecualian ialah:
4.1      murid kaum Asli dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang tinggal jauh di pedalaman dan secara tradisinya masih mengamalkan hidup secara berpindah randah;
4.2      murid istimewa seperti yang ditetapkan, contohnya melalui Peraturan-Peraturan Pendidikan Khas di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550); dan
4.3      lain-lain golongan yang ditentukan oleh KPPM.
 
  1. Permohonan yang boleh dipertimbangkan untuk pengecualian daripada mengikuti pendidikan wajib di peringkat rendah adalah seperti berikut:
5.1    murid yang mencapai umur enam tahun pada 1 Januari tahun persekolahan semasa yang memohon untuk menangguhkan kemasukan ke Tahun 1 ke tahun berikutnya; dan
5.2    lain-lain permohonan.
 
  1. Permohonan dikemukakan oleh ibu bapa/penjaga kanak-kanak kepada jabatan pendidikan negeri.
  1. Murid mesti mengikuti pendidikan rendah di sekolah sehingga keputusan permohonan penangguhan diluluskan.
     8.  Permohonan menggunakan borang permohonan (Borang PPW 2) dan dokumen sokongan yang disahkan:
8.1     1 salinan kad pengenalan bapa (depan dan belakang);
8.2      1 salinan kad pengenalan ibu (depan dan belakang);
8.3      1 salinan sijil lahir anak (depan dan belakang);
8.4      1 salinan bukti pendaftaran kemasukan ke Tahun 1;
8.5      1 salinan asal laporan doktor; dan
8.6      dokumen lain jika berkenaan.
 
Tarikh Kuatkuasa
28 Jun 2003
  • Hits: 2125

Ikuti kami di media sosial rasmi:

© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 03 Ogos 2020, 08:32.