YAB Tun Dr Mahathir: Rajin, amanah, berdisiplin perlu jadi budaya untuk berjaya
YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu sifat-sifat rajin, amanah dan berdisiplin diterapkan dalam kalangan murid-murid supaya mereka dapat mengamalkannya dari awal lagi sehingga dapat menjadi budaya yang membawa kejayaan.
Menurut beliau, ketiga-tiga nilai itu perlu dipegang dan diamalkan seluruh rakyat Malaysia untuk kekal maju serta berjaya dalam bidang yang mereka ceburi.
"Di samping kita mengejar kejayaan akademik, saya ingin tegaskan tiga nilai yang perlu dipegang dan diamalkan seluruh rakyat Malaysia untuk kekal maju serta berjaya dalam sesuatu bidang yang diceburi iaitu sifat rajin, amanah dan berdisiplin.
"Jika ada tiga nilai ini, kita pasti akan menjadi bangsa yang berjaya,” kata beliau.
YAB Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2019 di SPICE Arena, Pulau Pinang hari ini.
Sehubungan itu YAB Perdana Menteri berkata, beliau masih menekankan Dasar Pandang ke Timur kerana negara-negara Timur yang maju seperti Jepun dan Korea disegani dunia bukan hanya kerana kemajuan yang dicapai mereka tetapi juga kerana tiga nilai itu yang disemai dengan semangat patriotisme.
Kata beliau, guru-guru dimuliakan kerana tugasnya amat murni iaitu mendidik anak-anak supaya mereka bersedia untuk melalui cabaran dan berpegang kepada nilai-nilai murni serta prinsip-prinsip sejagat.
YAB Tun Dr Mahathir juga berkata, guru-guru juga perlu menyediakan para pelajar bagi menghadapi perubahan-perubahan disruptif hasil dari pelaksanaan teknologi-teknologi baru dan canggih.
Lebih 3,500 guru dari seluruh negara menghadiri majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsan 2019 yang berlangsung di Pulau Pinang.
- Hits: 4924