YB Dr Maszlee alu-alukan peranan penggiat seni naikkan nama SK Tan Sri P. Ramlee
YB Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri P. Ramlee, Pulau Pinang mengalu-alukan kerjasama penggiat seni tanah air untuk sama-sama menaikkan nama sekolah berkenaan supaya dikenali ramai.
YB Dr. Maszlee berkata, sekolah berkenaan mempunyai nilai sejarah tersendiri kerana Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pernah mengikuti persekolahan di sekolah tersebut.
Sekolah ini, yang terletak di George Town, dibina pada tahun 1930an. Nama asalnya SK Kampung Jawa tetapi telah ditukar pada tahun 2011 bagi memperingati Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Sempena lawatan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) telah menyumbangkan buku-buku bernilai RM4,000 kepada perpustakaan sekolah berkenaan. Buku-buku dengan nilai yang sama turut disumbangkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Ara, yang turut dilawati YB Dr Maszlee.
Ia merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyemarakkan program Dekad Membaca Kebangsaan dan kempen Malaysia Membaca.
YB Dr Maszlee berharap sumbangan itu dapat mendekatkan warga SK Tan Sri P.Ramlee dengan bahan-bahan bacaan berkualiti demi meningkatkan tahap pengetahuan masing-masing.
Dalam pada itu, Guru Besar SK Tan Sri P. Ramlee, YBrs Jamaiah Mahdi berkata, setiap program yang dianjurkan sekolah berkenaan akan mengguna pakai pendekatan Tan Sri P. Ramlee sebagai satu identiti sekolah.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, YBrs Mahanom Mat Sam.
- Hits: 4650