Kenyataan Akhbar Berkaitan Penjagaan Murid Semasa Fenomena
KENYATAAN AKHBAR
BERKAITAN PENJAGAAN MURID SEMASA FENOMENA
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius akan perkembangan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini dan sentiasa memantau status terkini bacaan IPU kawasan-kawasan yang bacaannya melebihi 100. Pihak sekolah perlu menghubungi ibu bapa murid-murid yang menghadapi masalah kesihatan semasa di sekolah akibat fenomena jerebu serta merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau klinik kesihatan berdekatan.
Berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan pihak sekolah perlu memberhentikan segala aktiviti-aktiviti luar bilik darjah bila bacaan IPU melebihi 150. Kawasan di mana bacaan IPUnya melebihi 200 sekolah-sekolah perlu ditutup. Pihak Guru Besar dan Pengetua perlu memaklumkan kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri sekiranya sekolah perlu ditutup.
Semua Guru Besar dan Pengetua diingatkan supaya sentiasa memantau bacaan IPU di kawasan masing-masing melalui aplikasi telefon bimbit MyIPU atau melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (www.doe.gov.my). Pihak pentadbir sekolah perlu akur kepada Surat Siaran yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia berkaitan jerebu bertarikh 7 Ogos 2013 (Rujukan: KP/KPPM/7/(18)) dan juga surat siaran berkaitan Langkah Penjagaan Kesihatan Murid Semasa Cuaca Panas ( yang telah dikeluarkan pada 26 Februari 2014 (Rujukan: KP(BPSH-SPDK)201/005/02Jld.5 (31) yang masih berkuatkuasa.
Kementerian Pendidikan Malaysia
14 September 2015
- Hits: 7222