Tindakan Menangani Penyalah Gunaan Dadah Dalam Kalangan Murid Sekolah
KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
TINDAKAN MENANGANI PENYALAH GUNAAN DADAH
DALAM KALANGAN MURID SEKOLAH
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat memandang serius akan penglibatan murid sekolah dalam aktiviti penyalah gunaan dadah. Dalam hal ini, KPM bersama-sama agensi kerajaan lain iaitu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia termasuk pihak NGO seperti PEMADAM, PENGASIH serta ibu bapa dan masyarakat setempat bekerjasama melaksanakan aktiviti pendidikan pencegahan dan aktiviti-aktiviti berbentuk intervensi bagi menangani masalah ini.
Antara Program dan aktiviti Pendidikan Pencegahan Dadah yang dilaksanakan dengan kerjasama pihak-pihak tersebut adalah kempen-kempen pencegahan di peringkat sekolah, daerah dan negeri, pameran, ceramah mengenai bahaya dadah, mesej 5 Minit Antidadah, Skim Lencana Antidadah (dianggotai oleh pemimpin unit beruniform sekolah bagi menyebarkan maklumat bahaya dadah kepada rakan sebaya) dan juga sudut dan laluan Pendidikan Pencegahan Dadah di peringkat sekolah.
Manakala bagi program intervensi pula, ia dilaksanakan kepada murid-murid berisiko yang dikenalpasti menerusi ujian urin saringan awal di sekolah, soal selidik murid, tangkapan polis atau AADK di luar kawasan sekolah serta menerusi pemerhatian tingkahlaku murid dalam bilik darjah oleh guru.
Dalam tempoh 3 tahun (2013-2015), jumlah murid yang dilibatkan dalam ujian urin saringan awal adalah seramai 117,562 orang. Berdasarkan ujian tersebut, secara puratanya didapati 3.35 peratus daripadanya positif pada saringan awal. Murid-murid ini dipantau secara rapi menerusi proses-proses kaunseling di peringkat sekolah, perjumpaan berkala bersama ibu bapa mereka, selain mereka juga diminta menghadiri kem Intervensi Anak Negara (INTAN).
Menerusi program-program ini serta hasil kerjasama rapat antara agensi tersebut, KPM yakin isu ini dapat ditangani agar tidak menular ke tahap serius. KPM juga akan terus membantu murid-murid terlibat agar mereka yakin bahawa dadah boleh merosakkan masa depan serta berusaha secara berterusan supaya murid-murid dapat menjauhi najis dadah.
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
18 Ogos 2015
Bil | Tajuk | |
1 | KENYATAAN MEDIA KPM TINDAKAN MENANGANI PENYALAH GUNAAN DADAH DALAM KALANGAN MURID SEKOLAH | Muat Turun |
- Hits: 12105