Selamat Datang ke PORTAL KPM

Umum Berkenaan Biasiswa Di Bawah KPM

1. ADAKAH KPM ADA MENYEDIAKAN BIASISWA UNTUK PELAJAR LEPASAN SPM? 

Ada. Walau bagaimanapun Biasiswa yang ditawarkan adalah terhad bagi keperluan kerjaya keguruan. KPM menyediakan tajaan Biasiswa untuk pelajar lepasan SPM yang berminat menceburi bidang pendidikan melalui Program Penghantaran Pelajar Cemerlang (PPC) bagi mengikuti kursus Bahasa Arab, Pengajian Islam, Pendidikan Khas, Bahasa Mandarin dan Bahasa Perancis di luar negara.

Manakala bagi lepasan SPM dari kelompok keluarga B40 yang menyambung pengajian di peringkat Asasi (hanya 12 Universiti Awam), KPM ada menawarkan Bantuan Kewangan Asasi yang boleh dipohon melalui UA masing-masing. Bagi pelajar lepasan SPM yang menyambung pengajian peringkat sijil penuh di Kolej Komuniti pula, KPM ada menawarkan Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti (BKPKK) khas untuk keluarga hanya berpendapatan RM3,000 ke bawah yang boleh dipohon melalui KK masing-masing. 

2. BAGAIMANAKAH PELAJAR LEPASAN MATRIKULASI DAN STPM INGIN MEMOHON BIASISWA DI BAWAH KPM? 

Pelajar lepasan matrikulasi dan STPM yang melanjutkan pengajian Ijazah Pertama dalam bidang Sains Tulen (Matematik, Fizik, Kimia dan Biologi) boleh memohon tajaan Biasiswa MyBrainSc untuk pengajian dalam dan luar negara (hanya university terkemuka dunia). 

Bagi yang melanjutkan pengajian Ijazah Pertama dalam bidang pendidikan pula, pelajar boleh memohon tajaan Biasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) untuk ditindikkan dengan kerjaya keguruan di KPM selepas tamat belajar kelak.

KPM juga ada menawarkan Biasiswa bagi Program Penghantaran Pelajar Cemerlang Lepasan Matrikulasi ke luar negara untuk dilantik sebagai pensyarah Kolej Matrikulasi selepas pelajar tamat belajar kelak. Walau bagaimanapun, pelantikan sebagai guru atau pensyarah Kolej Matrikulasi untuk Program ISMP dan PPPC Matrikulasi adalah tertakluk kepada syarat-syarat dan keputusan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).  

3. APAKAH BENTUK TAJAAN BIASISWA YANG DISEDIAKAN OLEH KPM UNTUK ORANG AWAM DAN BAGAIMANA SAYA BOLEH MEMOHON BIASISWA BERKENAAN? 

KPM menyediakan tajaan Biasiswa MyBrainSc kepada orang awam warganegara Malaysia yang sedang atau akan mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Pertama dan Pasca Siswazah secara sepenuh masa hanya dalam bidang sains tulen iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik di Universiti Awam (UA) dan universiti terkemuka luar negara (Ivy League). Permohonan Biasiswa ini boleh dikemukakakan secara atas talian di https://biasiswa.moe.gov.my/MyBrainSc/. Kementerian akan memaklumkan tarikh permohonan dibuka secara atas talian melalui pengumuman di laman web KPM. 

Biasiswa yang diberikan adalah dalam bentuk Yuran Pengajian yang dibayar terus kepada Universiti, Elaun Sara Hidup, Elaun Buku, Elaun Alat Perkakas, Elaun Bantuan Komputer, Elaun Kertas Projek, Elaun Latihan Amali dan Elaun Tesis.   

4. SAYA MERUPAKAN PELAJAR IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN DI SALAH SEBUAH UA.  SAYA JUGA BERMINAT UNTUK MENJADI SEORANG GURU.  ADAKAH BIASISWA DIPERUNTUKKAN KEPADA SAYA?JIKA ADA, BAGAIMANAKAH CARA UNTUK SAYA MEMOHON BIASISWA TERSEBUT

Ada. Anda boleh memohon biasiswa bagi program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (ISMP) secara atas talian pada pautan https://epenawaran.moe.gov.my.  Permohonan ini biasanya dibuka sepanjang bulan Mac setiap tahun.   

5. SAYA MERUPAKAN PELAJAR DARI KALANGAN KUMPULAN B40.  ADAKAH KPM MENYEDIAKAN BIASISWA KHAS UNTUK GOLONGAN SEPERTI SAYA MELANJUTKAN PENGAJIAN DI PERINGKAT IJAZAH?  BAGAIMANAKAH CARA UNTUK SAYA MEMOHON BIASISWA TERSEBUT? 

Ya, KPM ada menyediakan bantuan kewangan untuk golongan sasaran B40 seperti berikut: 

(i)

 Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti dalam bentuk wang saku RM1,800 sesemester (6 bulan) diberikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian peringkat sijil penuh di Kolej Komuniti seluruh negara; dan

(ii)

 Bantuan Kewangan Asasi dalam bentuk wang saku RM 2,500.00 setahun, yuran pengajian dan yuran penginapan serta tiket kapal terbang (sekali pergi dan balik sepanjang pengajian) diberikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian peringkat matrikulasi di 12 Universiti Awam terpilih.

6. ADAKAH MALAYSIA INTERNATIONAL SCHOLARSHIP (MIS) MERUPAKAN BIASISWA YANG DIBERIKAN KEPADA WARGANEGARA MALAYSIA UNTUK BELAJAR DI LUAR NEGARA?

Tidak. Program MIS merupakan satu foreign policy tool yang ditawarkan kepada pelajar asing untuk belajar di Universiti Awam (UA) di Malaysia berdasarkan kepada syarat-syarat tertentu. Biasiswa MIS ini diberikan secara reciprocity kepada negara asing tertentu yang turut menawarkan Biasiswa kepada warganegara Malaysia untuk belajar di negara mereka. Setiap tahun KPM hanya menawarkan sejumlah tempat tertentu kepada warganegara asing yang ingin melanjutkan pengajian di UA dan iklan adalah dibuat melalui pejabat kedutaan negara yang telah dipilih lebih awal.

7. SAYA TELAH MENDAPAT TAWARAN PENGAJIAN DI UNIVERSITI LUAR NEGARA. ADAKAH KPM ADA MENYEDIAKAN BIASISWA UNTUK SAYA BELAJAR KE LUAR NEGARA?

KPM hanya menyediakan Biasiswa MyBrainSc untuk pelajar pintar warganegara Malaysia dalam bidang Sains Tulen (Fizik, Kimia,     Biologi dan Matematik sahaja) bagi pengajian di luar negara (Ivy League University). KPM tiada menyediakan peluang Biasiswa atau sebarang bentuk pembiayaan untuk orang awam bagi program - program lain untuk pengajian di luar negara.

8. APAKAH ITU BIASISWA MALAYSIA INTERNATIONAL SCHOLARSHIP (MIS)? ADALAH BIASISWA INI DITAWARKAN KEPADA WARGANEGARA MALAYSIA YANG INGIN MELANJUTKAN PENGAJIAN DI LUAR NEGARA?

Biasiswa MIS adalah program khas di bawah KPM yang ditawarkan hanya kepada warganegara asing yang ingin melanjutkan pengajian di UA di Malaysia. Biasiswa MIS tidak ditawarkan kepada warganegara Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian di luar negara.

Hits : 3447