Selamat Datang ke PORTAL KPM

Aduan SISPA

Tahniah! 12 Peserta Guru Malaysia : Korea-Malaysia Teacher Exchange Programme 2026

TAHNIAH KEPADA 12 ORANG GURU YANG TELAH BERJAYA DIPILIH UNTUK MENYERTAI KOREA-MALAYSIA TEACHER EXCHANGE PROGRAMME (KOMTEP) TAHUN 2026 PADA 24 OGOS HINGGA 21 NOVEMBER 2026 DI REPUBLIK KOREA

 

Tahniah diucapkan kepada dua belas (12) orang guru yang telah berjaya dipilih untuk menyertai Korea-Malaysia Teacher Exchange Programme (KOMTEP) Tahun 2026, pada 24 Ogos hingga 21 November 2026 anjuran Kementerian Pendidikan Republik Korea melalui UNESCO Asia-Pacific Centre of Education for International Understanding (APCEIU) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Melalui program ini, guru-guru yang terpilih akan ditempatkan di enam (6) buah sekolah di Republik Korea selama tiga bulan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti profesional, termasuk pengajaran dan pembelajaran (PdP), penglibatan dalam aktiviti kokurikulum, pertukaran budaya serta pelaksanaan projek individu yang berteraskan Pendidikan Kewarganegaraan Global (Global Citizenship Education (GCED)).

Penyertaan dalam program ini mencerminkan komitmen KPM dalam memperkukuh agenda Reformasi Pendidikan melalui pemerkasaan profesionalisme guru yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, di samping menyokong aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 untuk melahirkan pendidik yang kompeten, inovatif, berfikiran global dan berupaya memacu transformasi pendidikan negara.

Selaras dengan gagasan Malaysia MADANI, program ini turut memperkukuh nilai kemanusiaan, saling menghormati, persefahaman antara budaya serta semangat kerjasama global dalam kalangan warga pendidik. Pendedahan kepada amalan terbaik pendidikan antarabangsa diharapkan dapat memperkayakan pengalaman profesional guru, memperkukuh kompetensi pedagogi serta memberi impak positif terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran demi melahirkan generasi murid yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing di peringkat global.

Sekali lagi, tahniah kepada semua guru yang terpilih. Semoga penyertaan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan profesion keguruan serta menyumbang kepada pembangunan sistem pendidikan negara yang lebih progresif, inklusif dan berimpak tinggi.

 

#MalaysiaMadani

#RPM2026_2035

#7TerasKPM

#PendidikanManusiawi

#tahuninitahunkita

#AkuKasihMalaysia

Hits : 59