Selamat Datang ke PORTAL KPM

Aduan SISPA

Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) Dan Program Susu Sekolah (PSS)

Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT):

  • Pada tahun 1976, Rancangan Amalan Makanan dan Pemakanan (“AMP”) telah diperkenalkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan diuruskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Program ini telah ditambah baik pada tahun 1979 dan dikenali sebagai Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang dikelola, diselia dan diuruskan sepenuhnya oleh KPM. Program RMT ini adalah sebagai pemberian makanan tambahan kepada murid sekolah rendah di Sekolah Kerajaan (SK) dan Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) KPM terutama daripada luar bandar dan golongan berpendapatan rendah bagi memperbaiki keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan harian.

Program Susu Sekolah (PSS):

  • Pada tahun 1983, PSS telah diperkenalkan sebagai makanan tambahan untuk membekalkan nutrisi yang mencukupi dan pemakanan yang seimbang serta memupuk tabiat pemakanan yang baik supaya murid sihat dan sentiasa segar. Murid yang layak akan dibekalkan satu kotak susu pada setiap hari persekolahan.

Kriteria Kelayakan:

  • Kriteria kelayakan murid penerima Program RMT dan PSS adalah seperti berikut:

a. Murid warganegara Malaysia berdasarkan catatan dalam Sijil Kelahiran dan bersekolah di SK/ SBK di bawah KPM;

b. Murid Tahun 1 hingga Tahun 6;
c. Pendapatan Isi Rumah (PIR) adalah berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Nasional semasa
dalam kategori miskin tegar; atau
d. semua murid yang bersekolah di Sekolah Orang Asli/Penan; atau
e. murid Sekolah Bantuan Jalinan Kasih (SBJK) yang telah memilki dokumen pengenalan diri (warganegara Malaysia); atau
f. Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) yang memegang Kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang
dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Murid yang tinggal di asrama tidak layak menerima RMT kerana telah menerima Bantuan Makanan Asrama (BMA).

Kadar:

  • Kadar bayaran bagi Program RMT yang diputuskan oleh Kementerian Kewangan adalah RM3.50 sehari bagi setiap murid di Semenanjung Malaysia dan RM4.00 sehari bagi setiap murid di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
  • Harga siling PSS yang ditetapkan adalah RM1.45 bagi sekotak susu di Semenanjung Malaysia dan RM1.80 bagi sekotak susu di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
  • Harga sebenar PSS adalah bergantung kepada harga yang ditawarkan oleh petender yang berjaya melalui proses tender terbuka yang diuruskan oleh Bahagian Perolehan (BPL) KPM.

Tempoh Pelaksanaan:

  • Pelaksanaan Program RMT dan PSS adalah pada setiap hari persekolahan tahun semasa mengikut kalendar akademik yang berkuat kuasa dan tertakluk kepada perubahan.
  • Program RMT dan PSS juga dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan.

Punca Kuasa:

  • Surat Pekeliling Kewangan (SPK) Bilangan 1 tahun 2016 berkuat kuasa 5 Februari 2026.

Hits : 122214