Selamat Datang ke PORTAL KPM

Aduan SISPA

PERMATA Seni

Program PERMATA Seni adalah program khas di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia semasa pembentangan Bajet 2009 pada 4 November 2008. Program ini merupakan usaha bagi membangunkan modal insan berkualiti khususnya untuk memantapkan program pendidikan awal melalui program PERMATA Negara. Program PERMATA Seni merupakan sebahagian daripada program PERMATA Negara yang diinspirasikan oleh YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor di bawah Bahagian PERMATA Negara.

Program PERMATA Seni telah diselaraskan bersama antara Bahagian PERMATA Negara dengan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) bagi memastikan kualiti, struktur pentadbiran dan pelaksanaan program yang dirancang berjalan dengan tersusun dan cekap. Program ini telah dilancarkan oleh YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, pada 11 Januari 2010 bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC).

“Anak-anak yang berbakat dalam bidang seni ibarat kuntuman bunga yang belum mekar. Justeru dalam usaha membajai tumbesaran kuntuman tersebut; serta memastikan kuntuman tersebut mekar dan menyebarkan keharumannya ke seluruh pelusuk alam, PERMATA mengambil langkah untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi membentuk bakat mereka ke peringkat lebih cemerlang.” – Petikan ucapan YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor semasa Majlis Pelancaran Program PERMATA Seni, 11 Januari 2010

Ahli PERMATA Seni merupakan kanak-kanak yang terbukti cemerlang dalam bidang seni, akademik serta berkeyakinan tinggi, berketerampilan dan mempunyai disiplin yang tinggi. Mereka yang terpilih perlu melalui sesi ujibakat dengan syarat-syarat yang ketat bagi melahirkan kumpulan terbaik dan cemerlang.

Kategori Program PERMATA Seni:

Program PERMATA Seni dibahagikan kepada tiga (3) kategori, iaitu:

  • PERMATA Seni Muzik yang dikelolakan oleh Istana Budaya
  • PERMATA Seni Koir yang dikelolakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
  • PERMATA Seni Tari yang dikelolakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

Hits : 694