Selamat Datang ke PORTAL KPM

Malaysian National Commission for UNESCO (MNCU) Network Dialogue 2023

Malaysian National Commission for UNESCO (MNCU) Network Dialogue 2023
 
08 Ogos 2023 | Selasa
 
Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) telah menganjurkan program Malaysian National Commission for UNESCO (MNCU) Network Dialogue pada 8 Ogos 2023 di Cyberjaya, Selangor dan secara dalam talian.
 
Program tahunan ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia selaku Naib Presiden SKUM. Turut hadir adalah Pengarah dari Pejabat Serantau Multisektoral UNESCO di Jakarta, Puan Maki Katsuno-Hayashikawa.
 
Ia diadakan untuk mengetengahkan serta memanfaatkan jaringan dan kerjasama yang telah wujud hasil daripada pelaksanaan program di bawah platform UNESCO, sama ada di peringkat dalam atau luar negara. Dialog tersebut juga memberi peluang kepada perkongsian pandangan dan amalan terbaik bagi membantu Malaysia dan global dalam merangka dasar-dasar negara serta pelaksanaan agenda Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals 2030.
 
Antara pengisian program termasuklah pembentangan dan perkongsian berkaitan bantuan dan sokongan yang boleh diberikan oleh pihak UNESCO, Pendidikan untuk Pembangunan Lestari atau Education for Sustainable Development yang berkaitan dengan elemen pendidikan inklusif kepada masyarakat berasaskan geopark, alam sekitar dan komuniti orang asli. Perbincangan turut menyentuh program pemerkasaan usahawan belia luar negara dalam industri kreatif tapak-tapak warisan dunia serta perkembangan usahawan industri kreatif Malaysia. Selain itu, program tersebut memberi pendedahan kepada potensi teknologi Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence dalam bidang pendidikan dan pendidikan digital komuniti desa. Selanjutnya, ahli panel turut mengupas berkenaan pemerkasaan kerjaya profesional bagi kaum wanita, terutamanya dalam bidang sains.
 
Majlis penutupan program yang berjaya menarik lebih 300 orang peserta dari 12 buah negara ini telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Mohd Daud Mohd Arif, Setiausaha Agung SKUM.
 

Hits : 212