MAJLIS PELUNCURAN RANCANGAN PENDIDIKAN NEGARA 2026–2035
20 Jan 2026 | Selasa
Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 bertemakan “Memacu Lonjakan Pendidikan Negara” telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, bertempat di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Majlis berprestij ini turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan YAB Dato’ Amar Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek serta Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abdul Halim, pengurusan tertinggi kementerian, jabatan, agensi serta institusi pendidikan awam.
Semasa ucapan, YAB Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa perkara utama yang akan menjadi agenda utama KPM dibawah Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 iaitu:
- Matriks Pembelajaran Malaysia bagi mengukur pencapaian murid tahun 4 dan tingkatan 3 secara berpusat.
- Kanak-kanak berusia enam tahun berpeluang masuk darjah satu secara sukarela.
- Bahasa Melayu dan Sejarah wajib untuk semua warganegara mengikut kurikulum kebangsaan.
- RM100 juta untuk naik taraf bilik guru
- Reformasi sekolah kebangsaan.
- Laluan TVET Sejak peringkat sekolah rendah – kurikulum persekolahan 2027
Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 di bawah KPM digubal sebagai intervensi strategik pasca-pandemik bagi memperkukuh daya tahan sistem pendidikan dan melahirkan modal insan kompetitif di peringkat global. Rancangan ini menumpukan kepada kemampanan, keluwesan, akses dan ekuiti, mutu serta kecekapan.
Dengan tema “Merapatkan Jurang, Meningkatkan Mutu, Meraih Kejayaan Bersama”, RPM 2026–2035 menjadi kompas strategik menangani isu pembelajaran, kesejahteraan warga pendidikan dan cabaran teknologi termasuk AI. Ia diterjemahkan melalui Tujuh Teras Strategik dan 49 prakarsa berimpak tinggi merangkumi kurikulum, bakat murid, profesionalisme pendidik, prasarana, sinergi pihak berkepentingan serta kecekapan tadbir urus.
Keseluruhannya, RPM 2026–2035 membentuk ekosistem transformasi pendidikan menyeluruh bagi merapatkan jurang sedia ada, melonjakkan mutu dan membina legasi pendidikan yang menjamin kesiapsiagaan rakyat Malaysia menghadapi masa depan.
Tahun Ini, Tahun Kita
Hits : 1238