Selamat Datang ke PORTAL KPM

Aduan SISPA

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) dan Majlis Jasamu Dikenang Tahun 2025/2026 KPM

ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC), PINGAT PERKHIDMATAN CEMERLANG (PPC) DAN MAJLIS JASAMU DIKENANG TAHUN 2025/2026 KPM

16 Jun 2026 | Selasa

Pengiktirafan terhadap kecemerlangan dan jasa bakti warga pendidikan terus diraikan menerusi Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) dan Majlis Jasamu Dikenang Tahun 2025/2026 Peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berlangsung di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh.

Seramai 394 orang penerima APC, enam orang penerima PPC dan 67 orang pesara telah diraikan atas sumbangan, dedikasi serta komitmen tinggi mereka dalam memperkukuh sistem pendidikan negara. Pengiktirafan ini bukan sahaja menghargai kecemerlangan perkhidmatan, malah menjadi pemangkin kepada pembudayaan kerja berprestasi tinggi, berintegriti dan berimpak dalam kalangan warga KPM.

Selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, warga pendidikan memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha memperkasa kualiti pendidikan, memperkukuh pendidikan digital serta kecerdasan buatan (AI), membentuk sahsiah dan nilai MADANI, memperluas akses kepada pendidikan berkualiti serta melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing di peringkat global. Kejayaan RPM 2026–2035 bukan sahaja bergantung pada perancangan dasar, tetapi juga pada kesungguhan guru dan seluruh warga pendidikan dalam menterjemahkannya kepada tindakan yang memberikan impak sebenar kepada murid.

Majlis ini turut menjadi wadah penghargaan kepada para pesara yang telah mencurahkan khidmat bakti demi kemajuan pendidikan negara. Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan mereka akan terus menjadi inspirasi kepada seluruh warga KPM untuk melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi dan kecemerlangan.

Tahniah kepada semua penerima APC dan PPC serta setinggi-tinggi penghargaan kepada para pesara yang diraikan. Semoga semangat kecemerlangan ini terus menyuburkan budaya kerja berprestasi tinggi dalam merealisasikan hasrat Pendidikan Manusiawi dan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035.

Tahun Ini, Tahun Kita

"Guru Bitara Nadi Negara"

Hits : 60