Perkhidmatan Sokongan Yang Disediakan :
Perkhidmatan sokongan pendidikan khas melalui pelibatan pegawai bidang khusus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merangkumi saringan, penilaian dan intervensi yang boleh memberi impak positif kepada perkembangan pendidikan khususnya untuk murid berkeperluan pendidikan khas di negara ini. Berikut adalah peranan yang dilaksanakan oleh pegawai di Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) mengikut bidang khusus:
Ahli Audiologi – melaksanakan saringan dan penilaian diagnostik pendengaran serta intervensi atau rehabilitasi pendengaran kepada murid. Pegawai juga turut memberikan pendedahan/latihan tentang kesihatan pendengaran dan pengurusan/penggunaan peranti amplifikasi kepada warga sekolah.
Ahli Terapi Pertuturan-Bahasa – melaksanakan saringan dan penilaian diagnostik serta intervensi atau rehabilitasi pertuturan dan bahasa. Pegawai turut memberi konsultasi kepada warga sekolah berkaitan strategi, akomodasi dan modifikasi persekitaran bagi meningkatkan kemahiran pertuturan, bahasa dan komunikasi.
Ahli Terapi Cara Kerja – melaksanakan saringan, penilaian dan intervensi terapi cara kerja daripada aspek perkembangan murid di samping memberi konsultasi kepada ibu bapa dan warga sekolah berkaitan aktiviti dan teknik terapi cara kerja.
Ahli Psikologi Klinikal – melaksanakan saringan, penilaian psikologikal dan intervensi kepada murid di samping konsultasi kepada warga sekolah berkaitan isu pembelajaran berdasarkan diagnosis.
Ahli Psikologi Pendidikan – melaksanakan saringan, penilaian dan intervensi berkaitan pembelajaran kepada murid di samping konsultasi kepada warga sekolah berkaitan sokongan pembelajaran yang lebih efektif.
Ahli Fisioterapi – melaksanakan saringan, penilaian dan intervensi berkaitan proses habilitasi atau rehabilitasi untuk pemulihan keadaan dan ketidakupayaan fungsi fizikal murid. Pegawai turut menyediakan konsultasi kepada ibu bapa dan warga sekolah mengenai proses pemulihan fungsi fizikal serta akomodasi dan modifikasi dalam suasana pembelajaran murid.
Sumber: Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) KPM Bil. 2 tahun 2025 - Garis Panduan Pengoperasian Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK), 2025 bertarikh 5 Mac 2025
Hits : 29751