Selamat Datang ke PORTAL KPM

Cuti Belajar Bergaji Penuh Bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan

A. SEBELUM MULA PENGAJIAN 

1.

Apakah tindakan yang perlu diambil selepas taklimat?

 

Mulakan proses permohonan pengajian kepada universiti berdasarkan tawaran dan senarai yang telah dikeluarkan oleh BBP, KPM. Surat tawaran (unconditional) daripada universiti berkenaan hendaklah diperolehi selewat-lewatnya sebulan sebelum tarikh memulakan pengajian sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam surat tawaran.  

2.

Bolehkah saya menukar mod pengajian pada bila-bila masa jika saya berhasrat sedemikian? 

 

Anda TIDAK DIBENARKAN untuk menukar mod pengajian sama ada sebelum atau semasa pengajian. Mod pengajian adalah berdasarkan permohonan yang telah anda kemukakan semasa permohonan HLP / HLPS. 

3.

Bolehkah saya memohon kepada 1 universiti sahaja?

 

Boleh dengan syarat anda telah mendapat tempat di universiti berkenaan dan menerima surat tawaran pengajian (unconditional) daripada universiti tersebut dalam bidang yang sama ditawarkan oleh BBP.  Walau bagaimanapun, anda adalah dinasihatkan untuk memohon kepada sekurang-kurangnya tiga (3) universiti berdasarkan senarai BBP, KPM. 

4.

Bolehkah saya menukar bidang atau pengkhususan bidang sebelum atau semasa pengajian? 

 

Anda TIDAK DIBENARKAN untuk menukar bidang atau pengkhususan bidang. Penentuan bidang adalah berdasarkan keperluan KPM.

5.

Bolehkah saya menangguh pengajian sekiranya diberi pemangkuan jawatan? 

 

Anda akan dianggap sebagai menarik diri dan boleh dikenakan tindakan sekiranya menangguhkan pengajian untuk menerima pemangkuan jawatan.

6.

Bolehkah saya menerima tawaran pengajian jika pengkhususan yang ditawarkan oleh universiti berbeza daripada tawaran BBP, KPM? 

 

TIDAK DIBENARKAN. Walau bagaimanapun, sekiranya bidang yang ditawarkan oleh universiti adalah sama dengan bidang yang ditawarkan oleh KPM, tetapi menggunakan nama yang berbeza, anda hendaklah memaklumkan secara rasmi perkara ini kepada pihak BBP KPM beserta dokumen sokongan dan keputusan untuk menerima tawaran universiti berkenaan adalah tertakluk kepada kelulusan Kementerian.

7.

Bolehkah saya menerima tawaran pengajian jika bidang pengkhususan yang ditawarkan oleh universiti berkenaan adalah sama dengan bidang pengkhususan yang dimohon tetapi berada di bawah fakulti/bidang berbeza? 

 

Anda hendaklah memaklumkan secara rasmi perkara ini kepada BBP, KPM dan sebarang keputusan adalah tertakluk kepada kelulusan Kementerian. 

8.

Bolehkah saya menggunakan borang pemeriksaan kesihatan selain daripada yang dikeluarkan oleh BBP, KPM?

 

Anda adalah digalakkan untuk menggunakan borang pemeriksaan kesihatan yang telah dikeluarkan oleh BBP, KPM. Walau bagaimanapun, jika institusi pengajian menetapkan borang pemeriksaan kesihatan yang khusus, anda dibenarkan untuk menggunakan borang tersebut bagi menggantikan borang pemeriksaan kesihatan yang telah dikeluarkan oleh BBP, KPM dengan mengemukakan salinan yang telah disahkan.

9.

Bolehkah saya membuat pemeriksaan kesihatan di pusat kesihatan/hospital swasta?

 

Boleh dengan syarat pusat kesihatan/ hospital berkenaan diiktiraf oleh Kerajaan dan bukan klinik swasta.

10.

Bolehkah saya membuat tuntutan bagi kos pemeriksaan kesihatan daripada BBP, KPM? 

 

Tidak boleh.

11.

Tempoh tajaan/ cuti belajar yang diluluskan oleh BBP, KPM sebagai penaja adalah lebih singkat daripada tempoh pengajian yang ditawarkan oleh universiti. Sebagai penaja, bagaimanakah bbp, kpm menentukan tempoh tajaan/ cuti belajar yang diluluskan kepada saya?

 

Penentuan tempoh tajaan/ Cuti Belajar oleh BT, KPM adalah berasaskan kepada struktur pengajian berdasarkan bilangan semester pengajian serta mode pengajian yang akan diikuti oleh penerima tajaan HLP/CBBPTB. 

B.

SEMASA PENGAJIAN

1.

Adakah saya perlu mengemukakan PSD form pada setiap penghujung semester? 

 

PSD Form hanya perlu dikemukakan sekali sahaja pada hujung tahun iaitu SEBELUM 31 Disember setiap tahun sepanjang tempoh pengajian.

2.

Sebagai penaja adakah BPT, KPM akan menaja saya untuk mengikuti sesi field trip semasa dalam pengajian? 

 

Sebagai penaja, BPT, KPM TIDAK MENAJA sebarang sesi field trip selain daripada subjek pengajian yang terdapat di dalam yuran pengajian anda. Sebarang perbelanjaan adalah di bawah tanggungjawab pegawai.

3.

Adakah saya perlu mengemukakan keputusan peperiksaan kepada BBP, KPM? 

 

YA, anda mesti mengemukakan keputusan setiap peperiksaan kepada BBP, KPM dalam tempoh satu minggu setelah keputusan dikeluarkan oleh pihak universiti.

4.

Bolehkah saya menjalankan sebarang tugas rasmi atau aktiviti yang dapat menjana pendapatan sampingan semasa dalam pengajian? 

 

Anda TIDAK DIBENARKAN untuk menjalankan sebarang tugas rasmi atau aktiviti yang dapat menjana pendapatan sampingan semasa dalam pengajian.

5.

Bilakah saya perlu mengemukakan perancangan pengajian saya?

 

Anda perlu mengemukakan pelan pengajian 3 bulan dari tarikh mula kursus selewat-lewatnya pada 30 November 2019.

6.

Adakah penangguhan pengajian dibenarkan?

 

TIDAK DIBENARKAN membuat sebarang penangguhan pengajian KECUALI bagi masalah kesihatan.

7.

Bilakah saya akan menerima elaun? Bagaimanakah proses pembayaran elaun dilaksanakan? 

 

Anda akan menerima elaun selepas memulakan pengajian. Pembayaran elaun secara tahunan akan dibuat 4 kali setahun seperti jadual di bawah:

Kemasukan Elaun

Minggu terakhir Februari  

(25-28 Feb)

Minggu terakhir Mei  

(25-31 Mei)

Minggu terakhir Ogos  

(25-31 Ogos)

Minggu terakhir November  

(25-30 Nov)

Bayaran Bagi Bulan  

Mac, Apr, Mei

Jun, Julai, Ogos

Sept, Okt, Nov

Dis, Jan, Feb

 

Sila ambil perhatian bahawa Elaun Sara Hidup (ESH) & Elaun Bantuan Keluarga (EBK) bagi bulan terakhir penajaan dengan cuti belajar akan dibayar setelah pegawai melapor diri di BBP.

* Sekiranya terdapat pindaan bagi kitaran bayaran ini, PPP akan dimaklumkan secara hebahan emel

8.

Siapakah yang akan menguruskan bayaran yuran pengajian saya kepada universiti? Adakah wujud keperluan untuk maklumkan kepada bbp, kpm bagi setiap semester pengajian?

 

Pihak BBP, KPM bertanggungjawab ke atas urusan pembayaran yuran pengajian anda kepada universiti. Walau bagaimanapun, bagi pegawai yang melanjutkan pengajian di UiTM, anda perlu menguruskan pembayaran yuran pengajian sendiri kerana yuran pengajian akan dimasukkan ke dalam akaun anda berdasarkan inbois yang dikeluarkan oleh pihak Universiti. Perkara ini adalah ketetapan oleh pihak UiTM sendiri.

9.

Berapakah jumlah jam kredit minimum yang perlu saya ambil setiap semester?

 

Jumlah jam kredit minimum yang perlu anda ambil bagi setiap semester ialah sebanyak 12 jam kredit. Tidak dibenarkan kurang daripada jumlah ini.

10.

Adakah saya dibenarkan untuk membentangkan kertas kerja di seminar atau persidangan peringkat antarabangsa?

 

Kelulusan menghadiri pembentangan kertas kerja di seminar/persidangan antarabangsa/sangkutan/kutipan data adalah tertakluk kepada ketetapan yang berkuatkuasa dan peruntukan tahun semasa. Pihak BBP, KPM hanya akan menanggung pembentangan pengajian peringkat Ph.D SAHAJA berdasarkan kelayakan penajaan yang diterima. Tuntutan hanya dibenarkan SEKALI SAHAJA bagi sepanjang pengajian dan tertakluk kepada peraturan semasa yang berkuatkuasa dan keutamaan diberikan kepada pelajar yang diwajibkan mengutip data di luar negara.

     

C.   SELEPAS PENGAJIAN

1.

Di manakah saya perlu melapor diri setelah tamat pengajian?

 

Sila rujuk Muka Surat 3 Kit Cuti Belajar ini. 

2.

Bilakah waktu terakhir untuk saya melapor diri?

 

Anda mesti melapor diri pada tarikh yang telah ditetapkan di dalam surat tawaran atau dengan segera jika berjaya menamatkan pengajian sebelum tarikh tamat Cuti Belajar. Anda hendaklah melapor diri dalam pakaian pejabat sebelum jam 12.00 tengah hari pada hari berkenaan.

3.

Apakah kesan jika saya melapor diri lebih lewat dari tarikh yang telah ditetapkan?

 

Kegagalan anda untuk melapor diri pada tarikh yang telah ditetapkan akan menyebabkan anda dianggap sebagai Tidak Hadir Bertugas Tanpa Sebab bagi sepanjang ketidakhadiran tersebut dan boleh dikenakan tindakan tatatertib.

4.

Bilakah tempoh terakhir untuk saya kemuka tuntutan elaun tesis? Apakah yang perlu dikemukakan untuk membuat tuntutan berkenaan? 

 

Tempoh terakhir untuk anda mengemukakan tuntutan elaun tesis adalah dalam tempoh satu tahun daripada tarikh lapor diri di BBP KPM setelah tamat CB.  Anda perlu mengemukakan borang tuntutan elaun tesis beserta salinan transkrip akhir, tesis dalam bentuk hardcopy (jilid) dan softcopy (cakera padat) kepada BBP, KPM.

5.

Bilakah elaun akhir pengajian dibayar?

 

Pembayaran akan dibuat bersekali dengan Elaun Sara Hidup terakhir setelah anda tamat cuti belajar. Elaun bulan terakhir juga akan dibayar setelah pegawai melapor diri di BBP bersekali dengan ESH dan EBK bulan terakhir penajaan.

6.

Bagaimana sekiranya saya tamat pengajian lebih awal daripada tempoh tajaan hlp / cuti belajar? 

 

Bagi pegawai yang menamatkan pengajian lebih awal, pegawai perlu memaklumkan BBP, KPM dan melapor diri dengan KADAR SEGERA tanpa menunggu sehingga tamat tempoh cuti belajar yang telah diluluskan. Sekiranya gagal berbuat demikian, pegawai akan dikenakan tindakan.

7.

Apakah maksud tarikh tamat pengajian atau tamat cuti belajar mengikut yang terdahulu? 

 

Tamat Pengajian bermaksud sekiranya anda berada dalam mana-mana keadaan yang berikut, anda dikira telah tamat pengajian dan perlu melapor diri untuk bertugas:

 

(i)

selepas menghantar tesis setelah mendapat surat arahan menghantar tesis daripada pihak universiti (Letter of Thesis Submission); 

 

(ii)

setelah menghadiri peperiksaan yang terakhir bagi pengajian tersebut; dan 

 

(iii)

setelah digantung pengajian atau diberhentikan oleh pihak universiti.

Tamat Cuti Belajar bermaksud telah tamat tempoh cuti belajar yang diluluskan. 

8.

Bolehkah saya menyimpan bayaran elaun terlebih bayar?

 

TIDAK BOLEH. Sebarang bayaran elaun terlebih bayar akan dikira semula secara proportionate dan tuntutan semula akan dibuat segera. Anda bertanggungjawab memaklumkan kepada BBP, KPM sekiranya menerima elaun terlebih bayar.

Hits : 1424