Amanat Tahun Baharu 2026 YB Menteri Pendidikan
9 Jan 2026 | Jumaat
Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 YB Menteri Pendidikan telah berlangsung pada hari ini, bertempat di Auditorium Kompleks E, Putrajaya dengan kehadiran warga Kementerian Pendidikan.
Majlis disempurnakan dengan penyampaian amanat oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, yang menekankan hala tuju strategik kementerian serta komitmen berterusan dalam memperkukuh sistem pendidikan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Dalam ucapan amanatnya, YB Menteri Pendidikan menyeru seluruh warga KPM agar terus memperkukuh semangat kebersamaan, profesionalisme dan integriti dalam melaksanakan amanah, selain mengamalkan budaya kerja berimpak tinggi yang berteraskan nilai kemanusiaan. YB Menteri turut menegaskan bahawa pendidikan merupakan wahana utama pembinaan negara bangsa, justeru setiap dasar dan inisiatif perlu memberi keutamaan kepada kepentingan murid, pendidik serta kesejahteraan warga pendidikan secara menyeluruh.
YB Menteri juga menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga KPM atas komitmen dan dedikasi berterusan dalam menjayakan agenda reformasi pendidikan, sambil menyeru agar semangat #PendidikanManusiawi terus menjadi teras dalam setiap perancangan dan pelaksanaan dasar pendidikan negara.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Dr. Mohd Azam bin Ahmad serta barisan Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan.
Majlis ini menjadi platform penting dalam menyatukan tekad dan iltizam seluruh warga Kementerian Pendidikan untuk terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, selaras dengan nilai Malaysia MADANI dan teras keunggulan KPM.
‘Tahun Ini, Tahun Kita’
Hits : 61