Tawaran Baharu Guru Besar/Pengetua
Apakah Tawaran Baharu Kepada Pengetua Dan Guru Besar?
Tawaran Baharu merupakan suatu inisiatif di bawah NKRA pendidikan, bagi memberi ganjaran kepada Pengetua dan Guru Besar berdasarkan kepada Prestasi Pencapaian (Performance Based Assessment). Pengetua dan Guru Besar yang menunjukkan peningkatan pencapaian yang cemerlang melebihi sasaran yang ditetapkan akan diberikan imbuhan yang menarik. Bagi Pengetua dan Guru Besar yang tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, mereka dikehendaki mengikuti Program Pembangunan Prestasi yang releven dengan keperluan masing-masing yang akan dikendalikan oleh pihak Institut Aminuddin Baki.
Bagaimanakah Tawaran Baharu Ini Selari Dengan Sistem Pendidikan?
Pengetua dan Guru Besar memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan keberkesanan sekolah. Pengenalan Tawaran Baharu merupakan pengiktirafan kepada Pengetua dan Guru Besar dalam usaha mereka dalam melonjakkan kecemerlangan sekolah. Penilaian terhadap pencapaian pemimpin sekolah dibuat berasaskan kombinasi pencapaian akademik, kokurikulum,dan elemen-elemen lain yang memberi impak dalam kemenjadian murid. Pengukuran pencapaian Pengetua dan Guru Besar berasaskan Gred Purata Sekolah (GPS) dalam peperiksaan awam dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia(SKPM) yang merangkumi aspek Hala Tuju Kepimpinan, Pengurusan Organisasi, Pengurusan Program Pendidikan dan Kemenjadian Murid. Dalam konteks inilah, Tawaran Baharu dilihat sebagai usaha yang selari dengan sistem pendidikan yang berhasrat untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan negara.
Bagaimanakah Penilaian Berasaskan Pencapaian Dilaksanakan?
Dalam melaksanakan tawaran baharu ini, langkah pertama adalah dengan menyenaraikan kedudukan sekolah berdasarkan kombinasi pencapaian sekolah dalam Gred Purata Sekolah dan skor Standard Kualiti Pendidikan Malaysia yang dikenali sebagai Skor Komposit Sekolah.
Pengetua dan Guru Besar yang melepasi sasaran [Exceed Target (ET)] yang ditetapkan dan tidak melepasi sasaran [Below Target (BT)] akan dikenalpasti oleh JNJK untuk dilaksanakan verifikasi. Selepas proses verifikasi dilaksanakan dan didapati Pengetua dan Guru Besar memang telah mencapai ET dan mereka memenuhi syarat- syarat yang ditetapkan, maka mereka boleh dipertimbangkan untuk pemberian ganjaran. Bagi pengetua dan Guru Besar yang memang berada dalam kumpulan BT selepas dilaksanakan verifikasi, mereka akan dikehendaki mengikut program Pembangunan Prestasi.
Apakah Syarat-Syarat Lain Yang Perlu Dipatuhi Bagi Membolehkan Pengetua/Guru Besar Menerima Ganjaran.
Hanya Pengetua dan Guru Besar yang melepasi sasaran iaitu mencapai ET, layak diperakukan untuk diberikan ganjaran kewangan sekiranya mematuhi syarat-syarat berikut:-
- Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (>90%),
- Audit Tanpa Teguran (pada tahun sebelumnya),
- Bebas daripada tindakan tata tertib,
- Mencapai tahap pencapaian Literasi dan Numerasi yang ditetapkan untuk sekolah rendah sama ada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
- Hits: 13367