Pengenalan

PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT

Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) merupakan satu inisiatif mentransformasikan rakyat Malaysia dalam usaha mempersiapkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

 Agenda PSH telah diketengahkan dengan jelas dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) melalui Teras Strategik 3 yang menekankan kepentingan pembangunan modal insan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan menyokong peralihan semua sektor kepada aktiviti berintensifkan pengetahuan.

 

 

Di dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (KSP RMKe-11), PSH dinyatakan melalui Teras Strategik 4 iaitu Memperkasa Modal Insan untuk negara maju.

 

 

 

Pembangunan modal insan dalam menghadapi pelbagai cabaran pembangunan mapan diperjelaskan lagi melalui Lonjakan ke-3 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 (PPPM (PT)) iaitu Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat.

 

 

 

Melalui Pelan Induk Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Peringkat Nasional 2011-2020, tiga (3) tonggak dalam pembangunan modal insan telah digariskan iaitu Sistem Persekolahan (Tonggak 1), Pengajian Tertiari (Tonggak 2) dan PSH (Tonggak 3).

 

 

PSH mampu mengembeleng potensi individu yang masih belum berada dalam pasaran kerja, mahupun yang sedang bekerja untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan nilai kendiri yang akhirnya dapat menyumbang kepada ekonomi negara menerusi pelbagai peluang pembelajaran sepanjang hayat. PSH juga boleh memupuk minat dan menyemai bakat untuk kehidupan yang lebih bermakna. Menerusi PSH, peluang pendidikan tidak hanya terhad kepada usia muda, tetapi diberikan kepada semua lapisan masyarakat.

Bagi merealisasikan hasrat ini, Pembekal PSH yang terdiri dalam kalangan agensi Kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO)  telah merancang dan menyediakan pelbagai program dan latihan kepada masyarakat setempat dengan pelbagai aktiviti pembelajaran yang boleh diikuti oleh semua peringkat umur tanpa mengira jantina, kaum dan anutan agama. Program/Kursus-kursus yang ditawarkan juga bersesuaian dengan kehendak semasa selaras dengan aspek pembangunan modal insan untuk mewujudkan masyarakat yang berdaya saing selain dari meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat. Tenaga pengajar yang mahir dalam bidang masing-masing diketengahkan dalam kursus-kursus yang dianjurkan oleh pihak yang terlibat agar dapat memberi ilmu serta khidmat terbaik kepada seluruh masyarakat.

  • Hits: 1343

Hak Cipta Terpelihara© 2019.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Paparan Terbaik Pada Resolusi 1920 x 1080

Tarikh Kemaskini 22 Februari 2020, 18:32.

Dasar Keselamatan   |   Dasar Privasi   |   Penafian