Program Teach For Malaysia

LATAR BELAKANG

Yayasan Teach For Malaysia (YTFM) telah diasaskan pada tahun 2010 dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), merupakan sebuah organisasi bebas tidak berkeuntungan dan inisiatif sosial yang mempunyai cita-cita dan misi untuk menyokong usaha-usaha KPM bagi menamatkan ketidaksamaan pendidikan di negara kita.

Teach For Malaysia kini giat membina rangkaian hubungan dan perkongsian dengan organisasi tempatan dan luar negara yang mempunyai matlamat yang seiring dengan misi kami untuk membawa perubahan sosial. Dalam setiap usaha tersebut, kami sentiasa menekankan bahawa pengalaman dan kemahiran yang diperolehi Fellow boleh dibawa ke mana-mana bidang kerjaya yang lain dan oleh itu amatlah berharga. Kemahiran yang dimaksudkan antara lain ialah keupayaan berfikir secara kritikal, kemahiran mengurus serta kematangan diri dan komitmen yang tinggi. Malah, yang paling berharga ialah pengalaman Fellow mengharungi pelbagai cabaran dalam mengecapi matlamat yang tinggi dengan penuh dedikasi, bersemangat waja, kreativiti dan cukup rendah diri.

Program Teach For Malaysia merupakan satu pengalaman yang sangat mencabar dan berharga. Program pembangunan kepimpinan ini mengambil masa dua tahun dimana Fellow dapat memperkasa para pelajar dan masyarakat, dan berganding bahu dengan pelbagai pihak - supaya kita semua dapat boleh menyumbang kepada penyelesaian!

APA ITU TEACH FOR MALAYSIA?

Teach For Malaysia ialah sebuah badan amal yang menggembleng tenaga belia paling cemerlang negara dalam misinya untuk mengatasi ketidaksamaan ekuiti dalam pendidikan. Fellow Teach For Malaysia akan berkhidmat sebagai guru selama dua tahun di sekolah berkeperluan tinggi dan komited untuk mentransformasikan pencapaian kanak-kanak yang berlatarbelakang sosio-ekonomi rendah dengan meningkatkan secara signifikan, pencapaian dan aspirasi kanak-kanak ini dalam pendidikan. Dalam jangka masa panjang, Ambassador Teach For Malaysia akan menjadi pemimpin yang mampu berusaha gigih dan sepakat dari pelbagai sektor untuk memperluas peluang pendidikan bagi semua kanak-kanak di Malaysia.Teach For Malaysia ialah rakan kongsi dalam rangkaian global Teach For All, yang terdiri daripada organisasi bebas yang bekerja untuk memperluas peluang pendidikan melalui penggemblengan tenaga bakal pemimpin masa depan negara masing-masing.

FELLOWSHIP

Fellowship dua tahun Teach For Malaysia mungkin antara pengalaman yang paling mencabar namun paling memuaskan bagi anda. Dalam masa dua tahun ini, Fellowsdijangka menghadapi dan mengatasi pelbagai cabaran, memberi semangat kepada pelbagai pihak untuk bekerja keras demi visi bersama, mencipta dan merubah rancangan agar dapat mara ke hadapan menuju matlamat dan meraih keyakinan untuk terus berjaya.

Fellowship dua tahun yang intensif ini akan menyediakan seorang Fellow dengan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi seorang guru dan pemimpin yang transformatif bagi membolehkan mereka merubah tanggapan bahawa asal-usul seseorang kanak-kanak itu penentu kejayaan pendidikan dan masa depannya. Seseorang Fellow memainkan dua peranan penting sewaktu Fellowshipnya:

Kepimpinan dalam bilik darjah

Fellow dijangka memimpin para pelajar mereka untuk mencapai kejayaan pembelajaran di luar jangkaan biasa.

  • para Fellow mampu memupuk kejayaan sebegini dengan mengenali para pelajar di dalam dan di luar waktu pembelajaran;
  • menyediakan rancangan pendidikan yang memenuhi keperluan setiap pelajar;
  • mengajar dengan cukup menarik;
  • bekerjasama dengan para guru, para pentadbir dan ahli komuniti setempat untuk memperoleh kemahiran dan sumber untuk kelas; dan
  • mentadbir dan menganalisis keputusan peperiksaan untuk memastikan para pelajar mencapai matlamat akademik mereka.

Kepimpinan dalam komuniti

Di samping mengajar, Fellow adalah diharap dapat melaksanakan projek yang bersifat transformasi di sekolah atau komuniti setempat. Fellow (selepas berbincang dengan pemimpin dan komuniti sekolah) akan memilih untuk menangani salah satu cabaran utama yang menghalang kejayaan pelajar mereka dengan menyelesaikan masalah tersebut secara kreatif dan inovatif. Untuk keberkesanan pelaksanaan projek, seorang business coach dari sektor swasta akan ditugaskan bagi membimbing Fellow tersebut dalam semua aspek projek termasuk mengkaji masalah dan membuat perancangan yang sesuai.

Dengan merangka, melaksana dan mengurus sebuah projek kecil yang lestari dalam sekolah atau komuniti setempat, seorang Fellow akan dapat membina keupayaannya dalam memimpin dan mengurus. Keupayaan ini boleh dibawa bersama ke mana-mana bidang kerjaya baru yang Fellow ceburi setelah tamat tempoh Fellowship. Pengalaman yang ditempuh Fellow melalui projek ini akan memberi pemahaman mendalam tentang cabaran dan rintangan yang dihadapi pelajar serta permasalahan yang bersangkut-paut dengan usaha mencapai keseimbangan ekuiti dalam pendidikan. Malah adalah diyakini bahawa pengalaman sedemikian akan memberikan seorang Fellow kelebihan dalam memilih pendekatan yang sesuai apabila berdepan dengan mana-mana isu pendidikan yang berkaitan.

Selepas tamat Fellowship

Teach For Malaysia percaya bahawa keperluan mewujud-kan satu barisan pemimpin masa depan yang mempunyai kesungguhan adalah amat penting untuk merealisasikan visi bahawa semua kanak-kanak di Malaysia seharusnya mempunyai peluang yang sepenuhnya untuk menerima pendidikan yang terbaik.

Dengan pengalaman Fellowship ini, Ambassador Teach For Malaysia akan dilengkapkan dengan perspektif sebenar cabaran pendidikan di negara kita, ilmu yang cukup untuk mengatasi cabaran-cabaran tersebut, dan yang paling penting semangat yang kukuh dan kepercayaan bahawa setiap kanak-kanak di Malaysia mampu berjaya dengan cemerlang sekiranya diberi peluang yang cukup.

SOALAN LAZIM PROGRAM TEACH FOR MALAYSIA

  1. Saya seorang guru yang sedang mengajar di sebuah sekolah kerajaan. Adakah saya layak untuk menjadi seorang Fellow?

Kami tidak dapat menerima permohonan daripada pemegang ijazah dalam bidang pendidikan atau mahasiswa yang perlu mengajar di sekolah-sekolah kerajaan Malaysia sebagai kelayakan mereka . Sila tulis kepada kami di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. untuk maklumat lanjut.

  1. Jika saya mempunyai biasiswa atau ikatan pekerjaan, bolehkah saya memohon untuk menjadi seorang Fellow?

Ya, melalui program Scholarship, Talent, Attraction dan Retention (STAR), pemegang biasiswa JPA boleh menunaikan bon mereka dengan menyertai Program Teach For Malaysia. Terdapat juga Fellow kami yang berjaya mendapatkan perjanjian penangguhan biasiswa atas dasar kes demi kes dengan majikan dan penyedia biasiswa mereka. Sebagai contoh, kami mempunyai pemegang biasiswa  PNB dan Sime Darby yang dapat menangguhkan bon mereka untuk berkhidmat sebagai Fellow Teach For Malaysia. Syarat ini juga sama syarat dengan graduan tajaan Petronas. 
 
Calon-calon yang memegang biasiswa atau bon pekerjaan dengan organisasi lain boleh menghubungi pasukan kami melalui talian Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.untuk maklumat lanjut.

  1. Adakah saya akan dibayar semasa tempoh Program saya?

Fellow akan menerima gaji guru penuh masa yang setaraf dengan gaji peringkat kemasukan dalam syarikat-syarikat lain.

  1. Di manakah Fellow Teach For Malaysiaditempatkan untuk mengajar?

Fellows kami telah ditempatkan di Johor, Kedah, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Sarawak dan Selangor. Penempatan ini ditentukan  oleh Kementerian Pendidikan Malaysia berdasarkan  keperluan sekolah awam tempatan.

  1. Di manakah saya boleh mendapatkan maklumat langut mengenai Program Teach For Malaysia ?

Maklumat lanjut mengenai Program Teach For Malaysia boleh didapati dengan melayari https://teachformalaysia.org/home/

  • Hits: 1885
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 23 Ogos 2019, 17:49.