Pengenalan

Pendidikan swasta adalah pendidikan yang disediakan kepada pelajar oleh institusi pendidikan swasta.  Institusi pendidikan swasta adalah institusi bukan bantuan kerajaan dan ianya dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta.  Penubuhan, pengurusan dan pengoperasian institusi pendidikan swasta adalah tertakluk di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan peraturan-peraturan yang dibuat dibawahnya.

Pada awalnya pendidikan swasta di Malaysia bermula sejak 1950an, terutamanya sebagai laluan kepada pelajar yang tidak dapat meneruskan pengajian di sekolah-sekolah kerajaan bagi memperolehi sijil-sijil asas mereka.  Pada tahun 1970an terdapat anjakan terhadap peranan dan fungsi system pendidikan swasta di mana pengusaha pendidikan swasta mula mementingkan kursus-kursus pra universiti.

Bahagian Pendidikan Swasta (BP Swasta) bermula sebagai Bahagian Pendaftar Sekolah dan Guru (BPSG) pada tahun 1961.  Pada 1 Oktober 1995 ianya telah dinaik taraf sebagai sebuah Jabatan (Jabatan Pendidikan Swasta) yang dianggotai oleh 8 pegawai dan 15 staf sokongan.  Jabatan Pendidikan Swasta kemudian dipertingkatkan dengan diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan dengan bilangan pegawai dan staf sokongan telah bertambah kepada 62 pegawai dan 25 staf sokongan.  Mac 2004, kesan dari penstrukturan KPM/KPT, BP Swasta telah diletakkan di bawah KPM, bidang kuasa dan fungsinya menjurus kepada pendidikan swasta bermula peringkat prasekolah hingga ke peringkat lepasan menengah sahaja.  Pada 1 Mei 2008, Jabatan Pendidikan Swasta, KPM dengan secara rasminya dikenali sebagai Bahagian Pendidikan Swasta.

  • Hits: 1199
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 22 Ogos 2019, 09:04.