[Hebahan JPA]: Majlis Genta Bahasa II

Poster MGB II

Majlis Genta Bahasa II memperlihatkan satu jaringan kerjasama yang luas dengan melibatkan pelbagai agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Awam, INTAN, Radio Televisyen Malaysia (RTM), UPM, YADIM, Istana Budaya dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Majlis akan berlangsung pada 14 Disember 2015 (Isnin) bertempat di Auditorium Perdana, Wisma Radio Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Majlis Genta Bahasa II (MGB-II) merupakan majlis apresiasi penjawat awam dan penutupan Bulan Bahasa Sektor Kebangsaan Perkhidmatan Awam 2015. Antara pengisian bagi MGB-II ialah pensijilan Audit Bahasa 2015 kepada 11 agensi, penghargaan audit kepada 6 IPTA, pentauliahan dan pelantikan Munsyi Muda Bahasa, anugerah-anugerah khas, penyampaian hadiah pertandingan Gegar Pidato dan persembahan teater muzikal Legenda Puteri Saadong oleh Alumni Akademi Pidato Perkhidmatan Awam 2015.

Selain daripada itu, persembahan Teater Muzikal Legenda Puteri Saadong yang berteraskan konsep memartabatkan Bahasa Kebangsaan menggabungkan bakat lakonan pegawai JPA, Istana Budaya dan alumni Akademi Pidato Perkhidmatan Awam yang juga terdiri daripada peserta-peserta akhir pertandingan yang bakal diumumkan sebagai pemenang-pemenang pertandingan di akhir MGB-II. Majlis Perasmian Penutupan Bulan Bahasa Kebangsaan Sektor Perkhidmatan Awam 2015 akan disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Poster Teater MGB II 2015

Diterbitkan oleh Unit Komunikasi Korporat