3 Subjek Tersenarai dalam Kelompok 50 Terbaik Dunia
KENYATAAN MEDIA
3 SUBJEK TERSENARAI DALAM KELOMPOK 50 TERBAIK DUNIA
Hari ini, QS telah mengumumkan Ranking Universiti Dunia: Mengikut Subjek 2016 (QS World University Rankings: by Subject).
Alhamdulillah, buat pertama kalinya, 3 subjek berjaya tersenarai dalam kelompok 50 terbaik dunia. Saya cukup berbangga dengan kedudukan kukuh universiti kita terutamanya dalam bidang kejuruteraan. Prestasi universiti awam dan swasta dalam kelompok 100 dan 200 terbaik dunia juga memberangsangkan. TAHNIAH.
Pencapaian ini adalah bukti usaha gigih, komitmen dan dedikasi pensyarah dan penyelidik kami, serta komuniti pendidikan tinggi keseluruhannya. Dengan rendah diri, ingin saya ucapkan, TERIMA KASIH.
Universiti kita sekali lagi telah membuktikan bahawa mereka sememangnya sedan meningkat secara berterusan ataupun "Soaring Upwards" (slogan Kementerian).
Sudah tentu, usaha tidak berakhir di sini dan saya menyeru semua universiti untuk terus meningkatkan hasil penyelidikan dan pengajaran mereka.
Saya sentiasa berkata bahawa ranking dunia penting sebagai penanda aras kedudukan sistem pendidikan tinggi negara di peringkat global, tetapi ia bukanlah segalanya. Dalam hal ini, saya berharap hasil daripada universiti akan dapat membawa impak positif yang bermakna, mampan dan berkekalan kepada masyarakat setempat dan antarabangsa.
Kementerian akan sentiasa menyokong usaha universiti dan institusi-institusi pendidikan tinggi, dan saya berharap dapat sama-sama kita memberikan rakyat Malaysia pendidikan yang terbaik.
Terima kasih.
#SoaringUpwards
Dato' Seri Idris Jusoh
22 Mac 2016
- Hits: 11891