Malaysia Dipilih Sebagai Presiden SEAMEO Council

Malaysia hari ini dipilih sebagai Presiden SEAMEO Council bagi penggal 2019-2021. Dengan pelantikan itu Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik mempengerusikan Mesyuarat SEAMEC Kali ke-50 yang sedang berlangsung di Bandar Sunway, Selangor.

YB Dr Maszlee berkata, Kerajaan amat menghargai sokongan padu yang diberikan negara-negara ahli SEAMEO ke atas kepimpinan Malaysia, khasnya dalam memacu perkembangan bidang pendidikan di rantau Asia Tenggara.

"Malaysia dengan sokongan kuat negara-negara ahli akan memastikan SEAMEO terus konsisten melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah kesepaduan sosial melalui pendidikan demi kemakmuran dan kesejahteraan Asia Tenggara," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan petang ini.

Terdahulu dalam ucapan pembukaan, YB Dr. Maszlee Malik berharap negara-negara Asia Tenggara akan bersatu dan bergerak maju dalam semangat kemakmuran bersama-sama di rantau ini.

"Kita perlu mengingatkan diri kita bahawa kita tidak lagi mampu berfungsi sebagai negara yang berasingan dengan objektif yang berbeza, tetapi kita perlu memanfaatkan persamaan kita dan mengambil pendekatan yang lebih serantau ke arah satu visi," kata YB Dr. Maszlee.

Dalam ucapan yang sama, YB Dr. Maszlee turut mengakui masih terdapat bidang yang perlu diperbaiki terutamanya mengenai penyelarasan dalam pendidikan tinggi dan TVET.

"Kita perlu mencari penyelesaian yang terbaik dan fleksibel untuk disesuaikan di seluruh spektrum serantau.

"Kita juga perlu memberi sokongan yang lebih besar kepada pensyarah dan pelajar dengan meluaskan peluang untuk menyertai skim biasiswa mobiliti," tambah beliau.

Persidangan ini melibatkan penyertaan Menteri-menteri Pendidikan dari 11 negara anggota SEAMEO, negara anggota bersekutu, ahli gabungan SEAMEO serta 26 Pusat Serantau SEAMEO di seluruh rantau Asia Tenggara.

 
 
(UKK 23 Julai 2019)
  • Hits: 1857
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 23 Ogos 2019, 17:49.