Komitmen KPM Tingkat Akses Pendidikan Orang Asli

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meletakkan sasaran untuk meningkatkan kehadiran murid Orang Asli sehingga 90 peratus pada tahun 2019.

Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Puan Teo Nie Ching ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Buku daripada Syarikat Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd. kepada 40 buah sekolah Orang Asli sempena sambutan 40 tahun penubuhan syarikat tersebut di Sekolah Kebangsaan Bukit Bangkong (Asli) Sepang, Selangor semalam.

Dalam ucapan beliau, YB Puan Teo Nie Ching turut memaklumkan KPM telah melaksanakan program Transformasi Pendidikan Orang Asli dan hasilnya, pencapaian peratus kehadiran murid Orang Asli telah menunjukkan peningkatan 3.23 peratus kepada 89.48 peratus setakat ini.

"Peratus Transisi murid Orang Asli dari Tahun 6 ke Tingkatan Satu juga meningkat sebanyak 2.03 peratus pada 2019," tambah beliau.

Selain itu beliau turut berkata kementerian turut memperkenalkan inisiatif baharu melalui Program Prokhas iaitu Projek Kelas Khas Murid Orang Asli Batek di negeri Kelantan sebagai langkah intervensi dalam mengurangkan masalah ketidakhadiran pelajar Orang Asli Kaum Batek ke sekolah.

Malah menyedari pembelajaran adalah sepanjang hayat, KPM juga telah meneruskan Program Kelas Dewasa Orang Asli dan Peribumi (KEDAP) bagi menyediakan pendidikan asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) kepada ibu bapa masyarakat Orang Asli dan Peribumi.

Melalui usaha yang telah dilaksanakan ini kementerian berharap masyarakat Orang Asli akan mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti seiring hasrat yang terkandung dalam Anjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Pada majlis yang sama YB Puan Teo turut dibawa melawat Projek Madu Kelulut SK Bukit Bangkong (Asli) dan merasmikan perpustakaan sekolah di samping mengadakan sesi membaca buku bersama pelajar tahap 1 sekolah berkenaan.

Turut hadir pada majlis berkenaan Pengarah Urusan Kumpulan Pelangi Publishing Group, YBhg Datuk Sum Kown Cheek dan Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, YBrs Puan Faridah Yang Razali.

 
 
(UKK 12 Julai 2019)
  • Hits: 490
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 21 Ogos 2019, 14:25.