Zakat Semarak Ilmu

Buat julung kalinya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) mengadakan program zakat Semarak Ilmu KPM-MAIWP-PPZ-ITBM 2019.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik di Putrajaya sebentar tadi.

Pengagihan sumbangan zakat dalam bentuk buku pertama kali dilaksanakan dan ia berbeza dengan amalan kebiasaan pelaksanaan iaitu memberikan wang tunai dan makanan kepada golongan asnaf.

Ketika berucap YB Dr. Maszlee berkata, usaha seperti ini sewajarnya diuar-uarkan agar ia menjadi satu bentuk galakan kepada semua pembayar zakat untuk sekurang-kurangnya mengetahui ke mana hasil kutipan zakat disalurkan. Bukan sahaja dalam bentuk makanan dan wang malah turut melibatkan pemberian buku untuk manfaat ilmu yang berpanjangan.

Beliau turut berharap agar bantuan berkenaan diperluaskan bukan hanya kepada umat Islam asnaf malah golongan bukan Islam daripada kalangan B40 bagi menyemarakkan lagi pendidikan.

"Buat anak-anak generasi baharu, saya menyeru agar lebih menghargai ilmu yang terkandung di dalam buku, bukan sekadar leka dengan peranti dan teknologi komunikasi semasa.

"Seperti mana kita pernah dan selalu mendengar tentang 'you are what you read'. Sekali lagi pesan saya, jadikan buku sebagai sahabat yang setia. Seperti kata Ernest Hemingway, 'There is no friend as loyal as book'," tambah beliau.

Bersempena majlis berkenaan pihak penganjur telah menyampaikan tajaan bantuan buku untuk pelajar asnaf Sekolah-Sekolah di Wilayah Persekutuan sejumlah RM700,000.00.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, YBhg Dato' Dr. Mohd Gazali Abas dan Pengerusi PPZ MAIWP, Dato' Haji Che Mat Che Ali.

 
 
 
(UKK  23 Mei 2019)
  • Hits: 345
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 24 Ogos 2019, 08:12.