Timbalan Menteri Pendidikan YB Puan Teo Nie Ching Mengetuai Delegasi Malaysia Ke Dialog Dasar Pendidikan Asia-Eropah

Timbalan Menteri Pendidikan, YB Puan Teo Nie Ching mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan Asia Eropah Kali Ketujuh (ASEMME7), yang berlangsung selama dua hari di ibu kota Romania, Bucharest bermula semalam, 15 Mei 2019.

Mesyuarat tahun ini diadakan di bawah tema "Menghubungkan Pendidikan: Rangkuman, Mobiliti dan Kecemerlangan Dalam Menyokong Matlamat Pembangunan Lestari," yang menekankan kesinambungan Proses Pendidikan ASEM, khususnya pendidikan tinggi dan hubungannya dengan proses ASEM yang menyeluruh.

Mesyuarat ini memberi tumpuan kepada cara untuk memperkukuh kerjasama Asia-Eropah di kalangan ahli komuniti pengetahuan, sambil menyumbang kepada Agenda Pembangunan Lestari 2030 iaitu mencapai matlamat pendidikan (SDG4) dalam "memastikan pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama dan meningkatkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua, termasuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET)."

Pertemuan kali ini bermula dengan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) dan dalam mesyuarat itu, delegasi Malaysia diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg Dato' Kamel Mohamad. Anggota delegasi SOM yang lain termasuklah YBrs Prof Madya Dr Jatswan Singh, Timbalan Pengarah Eksekutif (Akademik) Institut Asia-Eropah (AEI), Universiti Malaya; Chendrawasih Abdul Malik, Setiausaha Pertama, Kedutaan Besar Malaysia di Romania; dan Shahira Nur Zolkepli, Setiausaha Bahagian KPM.

Persidangan Rektor dan Forum Pelajar Yayasan Asia-Eropah (ASEF) Ketujuh (ARC7) juga diadakan sebagai acara sisi rasmi ASEMME7 dari 11 hingga 15 Mei 2019, yang menyaksikan penyertaan Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Timbalan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan wakil pelajar masing-masing.

Semasa di Bucharest, YB Timbalan Menteri juga dijadual untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan Asia dan Eropah, melawat universiti-universiti, dan bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia di Romania.

 

 
 
(UKK 17 Mei 2019)
  • Hits: 596
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 21 Ogos 2019, 09:46.