9 Teras Utama Pencapaian KPM - YB Dr Maszlee

Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik hari ini membentangkan sembilan teras utama pencapaian setahun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak memegang portfolio itu pada Mei 2018.

Sembilan itu menurut beliau, mewakili sembilan kelompok masyarakat yang perlu diberikan keutamaan oleh KPM dan agensi di bawahnya.

Antaranya, mewujudkan keserataan supaya tiada yang tersisih khususnya golongan B40, guru sebagai fokus utama, memansuhkan peperiksaan bagi murid tahap satu, dan peluang pendidikan kepada kanak-kanak warganegara Malaysia tanpa dokumen.

Selain itu, Dr. Maszlee berkata komitmen menangani sekolah daif antara yang menjadi tumpuan utamanya kini.

"Teras kelima adalah memberi tumpuan kepada Murid Berkepeluan Khas (MBK), keenam gerbang institusi pendidikan tinggi (IPT) dibuka seluas-luasnya untuk wacana dan perdebatan, teras ketujuh pula membabitkan sesi libat urus bersama institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS)," kata beliau ketika berucap pada Perhimpunan Keluarga Besar KPM di Putrajaya sebentar tadi.

Teras kelapan membabitkan usaha memperkasa pendidikan dan hala tuju TVET dan terakhir ialah pemerkasaan terhadap isu-isu bahasa, budaya dan sastera.

"Saya percaya, sembilan teras ini akan menjadi batu loncatan untuk kita terus bergerak dan bekerja.

"Amanat rakyat yang kita tanggung adalah nadi kekuatan kita. Kita dan rakyat bagaikan satu jiwa. Apa yang mereka rasa, kita juga harus merasainya," kata beliau.

Turut hadir, YB Timbalan Menteri Pendidikan, Puan Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Dato' Dr Mohd Gazali Abas; Ketua Pengarah Pelajaran 
Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Amin Senin dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir serta barisan pengurusan tertinggi Kementerian.

 
 
 
 
(UKK 07 Mei 2019)
  • Hits: 1336
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 24 Ogos 2019, 08:12.