3 Inisiatif Baharu Kolej Komuniti

Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik hari ini mengumumkan tiga inisiatif baharu sebagai langkah penambahbaikan dan peningkatan mutu pendidikan kolej komuniti.

Pengumuman berkenaan dibuat pada Majlis Pelancaran 'Soft Launch' 3 Inisiatif Baharu Kolej Komuniti di Kementerian pagi tadi.

YB Dr. Maszlee berkata, inisiatif-inisiatif baharu berkenaan adalah Program ACES, Maker Market dan Pondok Perdana.

"Ini adalah usaha yang progresif memandangkan bilangan kolej komuniti semakin bertambah tahun demi tahun dan perlu kekal relevan kepada masyarakat untuk mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0," kata beliau.

Mengulas lanjut berkenaan ACES, melalui empat bentuk laluan baharu iaitu Apprenticeship, Professional Certification, Entrepreneurship; dan Sijil Kolej Komuniti (Persediaan) YB Dr. Maszlee menyatakan keyakinan beliau TVET diangkat sebagai hab Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

"Saya percaya melalui empat laluan baharu ini, konsep "TVET FOR ALL" dapat dihayati dan direalisasikan di Kolej Komuniti yang telah diangkat sebagai hab Pembelajaran Sepanjang Hayat," kata beliau.

Dalam ucapan yang sama, YB Dr. Maszlee turut berkata, Maker Market merupakan satu ruang kerja kolaboratif dalam Kolej Komuniti yang membolehkan pengguna untuk belajar melalui rekacipta serta berkolaborasi dengan komuniti dan industri.

Katanya, bagi memperkasa dan menambah nilai set kemahiran pelajar pondok melalui program yang lebih tersusun dan berstruktur, KPM telah berkerjasama dengan sebuah Badan Bukan Kerajaan.

"Saya yakin dan percaya dengan kerjasama yang dijalinkan antara Pertubuhan Pondok Perdana bersama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bertujuan untuk meningkatkan kemahiran TVET kepada pelajar Pondok Perdana di mana pelajar akan diberi peluang untuk mengikuti pengajian di peringkat sijil atau diploma di Kolej Komuniti," kata beliau.

Turut hadir pada program ini, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Amin Senin dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Prof. Datuk Ts Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz.

 
 
 
 
(UKK 26 April 2019)
  • Hits: 604
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 21 Ogos 2019, 09:46.