Raja Muda Merasmikan Program Golden Industrial FesTVET

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullai telah perkenan mencemar duli merasmikan Pelancaran Program Golden Industrial FesTVET (GIFT) 2019 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Shah Alam Selangor pagi tadi.
 
Turut hadir Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato' Kamel Mohamad serta YBrs Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Dr. Muhammad Naim Yaakub juga hadir sama.
 
Dalam titah, Tuanku Syed Faizuddin Putra  melahirkan rasa bangga kerana dapat gabungan politeknik, pihak industri, agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta penduduk setempat dalam usaha memasyarakatkan Pendidikan TVET di PSA dan sekitar Shah Alam.
 
Baginda turut bertitah, sepanjang 50 tahun penubuhan Politeknik, negara telah berjaya melakar dan menempa nama sehingga ke peringkat antarabangsa.
"Pakatan strategik antara Politeknik bersama pihak industri dan komuniti dalam inisiatif pembangunan pelajar, baik dalam aspek menyokong aktiviti pembelajaran, peningkatan kemahiran dan inovasi mahupun membuka peluang pekerjaan kepada para graduan adalah penting bagi memastikan institusi dapat mencapai visinya untuk menjadi peneraju TVET yang unggul serta memastikan pendidikan TVET kekal relevan," titah baginda.
 
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyertai dan menyempurnakan majlis pelepasan acara berbasikal Golden Ride 2019 yang disertai 160 orang. Baginda serta para peserta berbasikal sejauh 20km mengelilingi Bandar Shah Alam. Selain aktiviti berbasikal GIFT 2019 turut diserikan dengan aktiviti Treasure Hunt Alumni, Colour Run dan pameran.
 
 
 
(UKK 6 April 2019)
  • Hits: 552
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 21 Ogos 2019, 09:46.