Anugerah Guru Adiwira PAK21

Cikgu Muhammad Nazmi bin Rosli, guru dari SK Long Sukang Lawas Sarawak telah dipilih sebagai Pemenang Guru Adiwira PAK21 pada majlis Malam Anugerah Adiwira PAK21 di Cyberjaya malam tadi. Beliau yang telah mengenepikan 9 calon akhir lain membawa pulang Wang tunai berjumlah RM2000, iPhone dan trofi.

Majlis gilang gemilang berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) YBhg. Dato' Dr. Gazali Abas dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) Datuk Dr. Amin Senin.

Dalam ucapan beliau, YB Dr. Maszlee merakamkan ucapan tahniah kepada sepuluh orang calon akhir Guru Adiwira PAK21 yang telah disenarai pendekkan dari lebih 1000 penyertaan yang diterima pihak PADU selaku penganjur Anugerah Berprestij ini. Pujian berkenaan diberikan kerana mereka telah berjaya menerapkan kemahiran kolaboratif, kreativiti, komunikasi, pemikiran kritis serta menerapkan nilai etika dalam pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) PAK21 kepada murid-murid.

"Saya berbangga dengan cikgu semua kerana berjaya dalam usaha memastikan murid-murid anda dapat didik melalui kemahiran-kemahiran ini", tambah beliau.

Selain Cikgu Muhammad Nazmi, tempat kedua telah dimenangi oleh Cikgu Norhailmi bin Abdul Mutalib SMK Jerlun, Kedah. Beliau telah membawa pulang wang tunai RM 1500, telefon Samsung dan trofi. Manakala tempat ketiga telah dimenangi oleh Cikgu Emira Nabila binti Ramli dari SMK Pasir Gudang, Johor. Beliau telah membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000, telefon Huawei dan trofi.

 

(UKK 4 April 2019)

  • Hits: 2334
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 24 Ogos 2019, 08:12.