JPPKK KPM Meterai MoU Latihan Penyenggaraan Pesawat Bagi Politeknik Sempena LIMA 2019

Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Malaysia Airlines dan AirAsia sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) yang sedang berlangsung di Langkawi, Kedah.
 
Kedua-dua MoU itu yang ditandatangani pada 28 Mac 2019 berkaitan dengan bidang penyenggaraan pesawat. Skop MoU adalah untuk membolehkan penempatan pelajar politeknik dalam aspek 'on job training', 'program up-skilling' bagi pensyarah politeknik dan kerjasama pelaksanaan kursus antara kedua-dua pihak.
 
Malaysia Airlines akan menyediakan peluang kepada pelajar politeknik untuk mempelajari dan mengikuti latihan secara langsung di fakulti kejuruteraannya. Di bawah MoU itu, Malaysia Airlines akan memberi sokongan kepada pelajar dari Politeknik Banting Selangor dengan latihan penyenggaraan dan teknikal selama lima tahun bermula Mac 2019. Syarikat penerbangan nasional juga akan menyediakan kemudahan latihan kepada pensyarah menerusi program 'train-the-trainer'.
 
MoU ditandatangani oleh Ketua Pengarah JPPKK, YBhg. Profesor Dato' Ts Dr. Mohd Ismail Abd Aziz dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Malaysia Airlines, YBrs Ahmad Luqman Mohd Azmi.
 
Dalam pada itu, MoU bersama AirAsia membolehkan pelajar-pelajar politeknik mengikut latihan bagi mengumpul 'work schedule' bagi pelesenan DCAM Part 66. Bagi pihak AirAsia, MoU ditandatangani oleh YBrs Khairul Muzammil Kamarudin, Pengurus Latihan Kejuruteraan AirAsia Berhad dan JPPKK diwakili YBhg. Profesor Dato' Ts Dr. Mohd Ismail.
 
Majlis menandatangani MoU turut disaksikan oleh YB Tuan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan.
 
Dalam pada itu, Majlis Penukaran Sijil Kerjasama Strategik antara Politeknik Banting dengan Dviation Group of Companies diadakan semasa Aerospace & Ship Repair Ship Building (SRSB) Industries Performance, yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 26 Mac 2019. Majlis ini disempurnakan oleh YBrs. Dr. Norhayati Zakaria, Pengarah Politeknik Banting Selangor dan YBrs Ts. Kevin Teoh, Pengarah Urusan Kumpulan Dviation Group of Companies serta disaksikan oleh YB Datuk Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan YAB Tuan Aminuddin Shari, Menteri Besar Selangor.
 
Inisiatif itu merangkumi perkongsian khidmat kepakaran bagi tujuan pembangunan modal insan yang kompeten serta mahir, penyediaan dan perkongsian kemudahan dari segi fasiliti serta prasarana bagi tujuan menjayakan aktiviti/program secara bersama, perkongsian ilmu dan maklumat yang relevan bagi tujuan penambahbaikan dan peningkatan pembelajaran dan pengajaran.
 
Sempena LIMA kali ini, sesi kunjungan hormat dan membina rangkaian antara JPPKK dan beberapa pemain industri turut diadakan untuk melihat potensi peluang kolaborasi serta memperkukuhkan kolaborasi sedia ada bersama semua pemain industri yang terlibat.
 
 
 
(UKK 30 Mac 2019)
  • Hits: 656
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 24 Ogos 2019, 08:12.