2 Projek Bantu Pelajar B40 Sempena Sambutan Ulang Tahun Yayasan Sukarelawan Siswa KPM

Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan bekerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan Projek Perpustakaan Mini dan Projek Tuition Mission PT3 & SPM Percuma bagi pelajar-pelajar B40 Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
 
Projek ini juga adalah sokongan kepada Dasar Komuniti Negara yang berhasrat untuk Membentuk Komuniti dan Generasi Yang Mampan, seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari PBB.
 
Mengumumkan perkara itu di Putrajaya hari ini, Pengerusi YSS, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, Yayasan akan terus melaksanakan aktiviti sukarelawan ini selaras dengan hasrat KPM yang mahu menyediakan akses pendidikan yang lebih baik kepada semua, di samping memupuk budaya membaca dalam kalangan anak-anak warga PPRT.
 
Tuisyen percuma khusus buat pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan PT3 dan SPM serta membantu mengurangkan beban ibu bapa di mana mereka tidak perlu menghantar anak mereka ke pusat tuisyen berbayar. Projek Tuition Mission memfokuskan kepada subjek STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) dan juga subjek lain yang mengikut keperluan murid-murid yang terdiri dari golongan B40.
 
“Terima kasih juga diucapkan kepada semua atas sokongan kepada YSS selama tujuh tahun ini. Sehingga kini, YSS telah melaksanakan sebanyak 38 Misi Sukarelawan Siswa dan berjaya melahirkan seramai 1,115 alumni yang terdiri dari 173 institusi pendidikan tinggi dari dalam dan luar negara.
 
"YSS juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia sejak awal penubuhan sehingga YSS ke tahap yang lebih tinggi pada hari ini,” kata beliau.
 
Untuk permulaan, Projek Perpustakaan Mini dan Projek Tuition Mission PT3 & SPM Percuma ini akan dilaksanakan di PPRT Lembah Subang, Selangor di mana PPRT ini terdapat sejumlah 1,580 buah rumah yang terdiri daripada lebih 5,000 orang penghuni.
 
Selain kerjasama di peringkat antarabangsa, YSS juga memberi fokus kepada projek-projek kesukarelawanan di dalam negara. YSS sedang melaksanakan YSS-DPA Tuition Mission 2019 ke Perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Kuala Langat, Kampung Orang Asli Sungai Melut, Sepang dan Kampung Sungai Rasau Hilir, Puchong, Selangor.
 
Seiring dengan cogan kata YSS, “Winning People’s Hearts, Mind and Soul Beyond Borders” YSS komited dalam melatih sukarelawan siswa melalui program berimpak tinggi melalui misi dan projek sukarelawan baik di arena tempatan dan juga antarabangsa.
 
 
 
(UKK 29 Mac 2019)
  • Hits: 623
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 21 Ogos 2019, 14:25.