MoF Luluskan Permohonan YB Dr Maszlee Bagi Peruntukan Tambahan Sekolah Agama Rakyat Dan Sekolah Agama Persendirian

Kementerian Kewangan meluluskan permohonan peruntukan tambahan oleh Kementerian Pendidikan bagi Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Persendirian sebanyak RM25 juta.

"KPM berbesar hati kerana hasrat KPM untuk menyediakan peruntukan tambahan bagi penyelenggaraan Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Persendirian telah dipertimbangkan dan telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat, khususnya Kementerian Kewangan," kata YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia.

Kata beliau: "Meskipun Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Persendirian ini tidak terletak di bawah KPM secara langsung, tetapi KPM di bawah Kerajaan baharu mahu membantu sekolah yang berpotensi untuk menjadi berprestasi tinggi agar pendidikan yang dinikmati anak-anak kita benar-benar berkualiti.

Replika cek peruntukan disampaikan oleh YB Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan kepada YB Dr Maszlee di KPM sebentar tadi.

YB Dr Maszlee berkata, satu mekanisme akan dibentuk untuk menentukan sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan di bawah peruntukan tambahan ini berdasarkan tiga kriteria iaitu prestasi, kualiti serta kebolehan memberi impak kepada anak-anak.

Ini adalah bagi membantu sekolah yang akan dikenal pasti nanti agar benar-benar memberi impak kepada anak di sekolah. Selain itu ia juga adalah untuk membolehkan sekolah berkenaan menjadi model dan contoh kepada pendidikan yang berkualiti di kalangan mereka.

"KPM yakin bahawa kelulusan peruntukan tambahan ini akan memberi implikasi yang positif kepada para pelajar dan membuktikan bahawa Kerajaan tidak mengenepikan keperluan pendidikan di Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Persendirian dengan syarat ia berdaftar dan tidak dimiliki oleh parti politik atau ahli politik, selaras dengan matlamat Kerajaan untuk memisahkan pendidikan dari pengaruh parti politik," tambah YB Dr. Maszlee.

Dalam pada itu, YB Tuan Lim berkata, ini merupakan kali pertama sekolah agama rakyat dan persendirian menerima dana daripada Kerajaan Persekutuan.

"Dan, ia merupakan pemberian secara terus daripada MoF kepada KPM. Pemberian ini memperlihatkan komitmen Kerajaan membantu sekolah-sekolah dan institusi-institusi pendidikan secara inklusif," kata beliau.

Beliau turut menambah bahawa Kerajaan mengambil berat hal ehwal dan kebajikan para pelajar, sekolah-sekolah dan institusi-institusi pendidikan supaya kualiti pendidikan yang disampaikan mencapai tahap yang memuaskan.

"Selain itu, kerajaan juga mahu memastikan suasana pembelajaran para pelajar selamat dan sihat," kata beliau.

  • Hits: 543
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 24 Ogos 2019, 08:12.