Ziarah Cakna: Masyarakat Orang Asli Hargai Kunjungan Menteri Pendidikan

Bagi Salim Arop, 50, kunjungan YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia ke rumahnya di kawasan Perkampungan Orang Asli di Kampung Tanah Runtoh, Kluang pagi tadi menyentuh hati dia dan keluarganya.
Salim, bapa kepada lima orang anak berkata, ini kali pertama seorang Menteri Pendidikan mengadakan lawatan ke perkampungan itu, sekali gus mengambil berat tentang nasib anak-anak Orang Asli.

Pekerja kebun ini berkata dia gembira kerana pertama kali Kementerian Pendidikan Malaysia "turun padang" berkunjung ke rumah Orang Asli di kawasan itu.

"Saya bersyukur dan berterima kasih," tambah Salim ketika ditemui pada Program Ziarah Cakna 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), yang diketuai YB Dr. Maszlee.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Tuan Mohd Jamil Mohamed dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Tuan Haji Shaharuddin Sharif.

Salim juga turut berharap agar anak-anak Orang Asli yang lain turut diberikan peluang untuk kembali bersekolah.

Dalam pada itu, Herman Jais 32, yang bekerja sebagai buruh turut melahirkan rasa gembira dan mengucapkan terima kepada YB Dr Maszlee kerana keprihatinan beliau dalam pendidikan melibatkan kanak-kanak Orang Asli.

Dia turut menyeru kepada ibu bapa atau penjaga khususnya masyarakat orang asli menghantar ke sekolah demi masa depan mereka.

Bagi Tok Batin Kampung Tanah Runtuh, Mohd Norsham Abdullah 43, beliau amat menitikberatkan agar masyarakat Orang Asli di kampungnya menghantar anak-anak ke sekolah.

Menurut beliau, antara penyumbang kepada keciciran adalah faktor kewangan para ibu bapa. "Harapan saya agar ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah", kata beliau.

Pada sesi lawatan berkenaan, YB Dr. Maszlee turut menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan dapur sumbangan Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (KPIBK) serta Bank RHB Cawangan Kluang, Johor.

  • Hits: 545
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 21 Ogos 2019, 14:25.