Program Jom Ke Sekolah Diadakan Serentak Di Seluruh Negara

Pada pagi tadi telah berlangsung Majlis Permuafakatan KPM dan PDRM: Program Jom Ke Sekolah Peringkat Putrajaya Tahun 2019. Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Puan Teo Nie Ching.

Perasmian majlis seumpama turut diadakan secara serentak di semua sekolah seluruh negara.

Dalam ucapannya, YB Puan Teo berharap Program Jom Ke Sekolah ini akan mempertingkatkan kerjasama yang lebih mantap antara pihak sekolah dengan Pegawai Perhubungan Sekolah dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Program ini juga diharapkan dapat menghindar murid daripada ponteng sekolah, membantu mencegah salah laku disiplin murid daripada terlibat dalam kegiatan jenayah dan perlakuan yang menyalahi undang-undang serta tidak bermoral sama ada di dalam atau di luar sekolah," tambah beliau.

YB Puan Teo turut menanam keyakinan kerjasama dan permuafakatan bersama PDRM, komuniti, ibu bapa dengan pihak sekolah akan dapat mempertingkatkan minat murid untuk hadir ke sekolah.

"Saya berharap Pegawai Perhubungan Sekolah dapat mengadakan kunjungan ke sekolah sekurang-kurangnya sebulan sekali agar dapat memberi nasihat dan panduan kepada murid-murid semasa perhimpunan di sekolah.

"Pegawai Perhubungan Sekolah juga boleh menjadi sumber rujukan pihak sekolah berkaitan undang-undang dan salah laku disiplin," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Keselamatan dan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, statistik jenayah indeks melibatkan pelajar sekolah pada tahun 2017 sebanyak 1,722 kes telah dilaporkan dan jumlah tersebut menurun kepada 1,285 kes pada tahun 2018.

"Meskipun menunjukkan pengurangan, usaha menanganinya masih perlu dipergiat memandangkan jumlah kes ini masih berada pada tahap yang menggusarkan," kata beliau lagi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Pendidikan) KPM, YBrs Shaari Osman serta Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, YBrs Jamil Mohamed.

  • Hits: 3424

Ikuti kami di media sosial rasmi:

© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 04 Oktober 2023, 15:35.