Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu Tahun 2019 Bermula
Majlis Perasmian Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu Tahun 2019 telah dilancarkan malam tadi. Ia telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik di The Top Pulau Pinang.
Dalam ucapannya beliau menyifatkan guru merupakan adiwira sebenar kerana mereka yang berjaya melahirkan para pemimpin hebat di masa kini.
"Saya yakin, setiap daripada kita tidak akan pernah melupakan nama guru-guru kita.
"Sedewasanya kita pada hari ini, mereka tetap penghuni dalam kenangan dan memori yang paling dalam.
"Ya, merekalah seperti mana yang disebutkan pepatah 'insan yang mencipta keabadian, kerana mereka tidak pernah boleh memberitahu di mana pengajaran mereka berhenti," tambah beliau.
YB Dr. Maszlee turut melancarkan logo #terimakasihcikgu dan tema sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2019 iaitu "Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi".
Selepas Perasmian di peringkat kebangsaan, Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu akan diadakan di seluruh negara, yang akan dikendalikan oleh Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Dan Komuniti (PIBK) dalam melahirkan apresiasi terhadap guru yang mendidik anak bangsa Malaysia.
Selebriti tanahair Dato' Aznil Haji Nawawi turut dianugerahkan sebagai ikon Pembelajaran Abad Ke-21 atas misi beliau dalam membantu para pelajar dalam pendidikan seiring matlamat KPM pada majlis yang sama.
Turut hadir pada majlis gilang gemilang malam tadi Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, YB Prof Dr Ramasany Palanisamy dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Dasar dan Kurikulum) Kementerian Pendidikan Malaysia, YBrs Dr. Habibah Abdul Rahim.
(UKK 21 Mac 2019)
- Hits: 3366