Program PRO Du-It KPM dan JCORP Bakal Manfaatkan 2,500 Murid

YBhg. Datuk Dr Mohd Gazali Abas, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia menyempurnakan majlis perasmian Program Pendidikan Celik Kewangan (PRO Du-It) Peringkat Kebangsaan 2019 di Putrajaya, semalam.

Johor Corporation (JCorp) menerusi Yayasan JCorp memperluaskan Program Du-It yang bakal memanfaatkan 2,500 murid dari 90 sekolah rendah di seluruh negara dalam usaha melahirkan generasi celik kewangan.

Ini juga merupakan program kerjasama KPM, yang turut melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.

YBhg Dr Mohd Gazali yang membacakan teks ucapan YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia berkata, masyarakat perlu berganding mendidik murid-murid tentang kaedah berbelanja secara berhemah dan membuang budaya pembaziran.

"Adalah menjadi harapan saya, dengan adanya program celik kewangan seperti Program Du-It ini, ia dapat melatih dan mendidik murid-murid di sekolah tentang cara menguruskan perbelanjaan dan penabungan secara sistematik serta memupuk nilai-nilai murni melalui modul-modul yang berkualiti tinggi dan senang dipraktikkan."

Tambahan pula kata beliau, terdapat elemen lain iaitu 'kongsi' yang menerapkan amalan bersedekah kepada setiap murid yang terlibat.

"Saya juga dimaklumkan bahawa terdapat satu lagi program iaitu Kelas Rancangan Usahawan yang dilaksanakan khusus untuk pelajar sekolah menengah dalam menggalakkan minat pelajar dalam bidang perniagaan," kata beliau.

Turut hadir Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), YBrs Dr. Rusmini Ku Ahmad serta Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, YB Dato' Kamaruzzaman Abu Kassim.

  • Hits: 103
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 21 Ogos 2019, 14:25.