YB Dr. Maszlee Ziarah Mangsa Terhidu Sisa Kimia

YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia sebentar tadi menziarahi mangsa, sebahagian daripada mereka murid sekolah, yang terhidu sisa bahan kimia, di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor.

Mereka merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih, Pasir Gudang. Beliau mendengar sendiri situasi yang dialami mangsa kejadian.

Setakat petang ini, seramai 35 murid iaitu 17 murid SK Taman Pasir Putih dan 18 murid SMK Pasir Putih mendapat rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI). Jumlah pelajar masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI adalah seramai sembilan orang.

Selain dua sekolah terbabit, SK Tanjung Puteri Resort dan SMK Tanjung Puteri juga telah ditutup ekoran insiden pencemaran sisa bahan kimia. Beliau juga turut melawat Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih di mana murid-murid diberi rawatan dan bantuan kecemasan.

YB Dr. Maszlee dan seluruh warga Kementerian Pendidikan Malaysia mendoakan agar kesemua mangsa yang dirawat kembali sembuh segera.

Kementerian Pendidikan Malaysia yang prihatin dan memandang serius insiden ini akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

YB Dr. Maszlee juga mengucapkan terima kasih kepada kesemua pihak dan agensi, termasuk pasukan perubatan HSI atas sokongan dan kerjasama mereka.

Turut mengiringi YB Dr. Maszlee sepanjang sesi lawatan hari ini termasuklah YB Tuan Aminolhuda Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Johor dan YBrs Azman Adnan, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Johor.

1.jpg 2.jpg 3.jpg

4.jpg 5.jpg