YB Dr Maszlee Galak Sekolah, IPT Tingkat Usaha Kukuh Kelab UNESCO

Pada pagi tadi telah berlangsung Majlis Pelancaran Kelab UNESCO dan Model United Nations (MUN) di Sekolah Seri Puteri Cyberjaya.

Majlis telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg Dato' Dr. Mohd Gazali Abas serta Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, YBhg Datuk Dr. Amin Senin.

Diadakan bagi menyebar luas dan menggalakkan penubuhan Kelab UNESCO dan pelaksanaan MUN di sekolah-sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi (IPT) mulai tahun 2019, program ini seiring dengan hasrat YB Dr. Maszlee ketika sambutan Hari UNESCO 2018 di Ipoh, Perak tahun lalu.

Dalam ucapannya, YB Dr. Maszlee sejak tahun 1947, sebanyak 4,000 kelab telah ditubuhkan di lebih 100 buah negara.

Pada masa sekarang Malaysia mempunyai 20 kelab di peringkat sekolah dan 22 lagi di peringkat pendidikan tinggi, kata beliau.

Justeru YB Dr. Maszlee menggalakkan sekolah-sekolah dan IPT memperkukuhkan usaha penubuhan kelab UNESCO bagi menyokong aspirasi UNESCO.

Kata beliau, Kelab UNESCO bukan hanya satu aktiviti kokurikulum, malah aspirasi yang dibawa di sebalik penubuhan kelab ini perlu dihayati oleh guru, murid dan pelajar iaitu penerapan nilai positif, menghargai nilai keamanan, kepelbagaian dan perdamaian.

YB Dr. Maszlee turut menjelaskan berkenaan Model United Nation (MUN).

Katanya, MUN merupakan aktiviti yang dilihat mampu untuk meningkatkan keupayaan golongan muda bukan sahaja dalam konteks pengetahuan dasar luar negeri, bahkan mampu meningkatkan kemahiran insaniah serta dapat mengantarabangsakan pemikiran golongan berkenaan.

Majlis pelancaran pada hari ini turut melibatkan pameran aktiviti Kelab UNESCO dan MUN dari 12 buah sekolah menengah, kolej komuniti, politeknik dan juga universiti awam. Pameran ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman mengenai kegiatan Kelab UNESCO dan MUN di institusi pendidikan terbabit.

  • Hits: 105
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 24 Ogos 2019, 08:12.