YAB Perdana Menteri bertemu warga JPN Terengganu

Kuala Terengganu, 7 Januari 2019 - Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meluangkan masa bertemu warga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu dalam satu majlis cakna bersama beliau.
 
Pertemuan itu merupakan salah satu program sempena lawatan YAB Perdana Menteri ke Terengganu - buat pertama kali setelah menjawat jawatan tersebut Mei tahun lalu.
 
Dalam sesi itu, YAB Tun Dr Mahathir turut menyeru rakyat menguasai ilmu untuk kehidupan dan keperluan negara khususnya dalam bidang sains, matematik dan teknologi.
 
YAB Perdana Menteri juga menekankan tentang keperluan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris untuk tujuan menuntut ilmu.
 
"Al-Quran dan sunnah perlu difahami sepenuhnya dan bukan ditafsirkan mengikut keperluan politik. Bangsa Melayu juga perlu mewujudkan tamadun bangsa.
 
"Pembentukan nilai, sahsiah dan akhlak sangat penting untuk membentuk negara bangsa," ujar beliau ketika berucap pada Majlis Cakna YAB Perdana Menteri bersama Warga JPN Terengganu, dekat Pusat Konvensyen dan Hotel TH, Terengganu.
 
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, YBhg. Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan YAB Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
 
  • Hits: 142
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 24 Ogos 2019, 08:12.