YB Dr Maszlee Lawat PPD Muar, Saran Sekolah Banyakkan Program Silang Budaya

YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan menyeru pengurusan sekolah memperbanyakkan program silang budaya bagi meningkatkan perpaduan dalam kalangan murid.

"Kita perlu banyakkan program silang budaya. Kita ada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Agama, SJK Tamil, SJK Cina dan sebagainya, jadi perlu buat program yang boleh disertai bersama," kata beliau yang menegaskan, langkah-langkah sedemikian sangat penting untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan pegawai-pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muar di Muar, hari ini.

YB Dr Maszlee mengadakan lawatan kerja ke PPD pagi tadi sebelum melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pagoh dan Kolej Matrikulasi Johor di Tangkak. Beliau turut mengadakan lawatan singkat ke Kolej Komuniti Muar.

Sambil berkongsi pengalaman membesar di Muar yang dikelilingi pelbagai kaum termasuk guru-guru yang berlainan agama, YB Dr Maszlee berkata, "saya merasakan satu perkara yang lain di Muar adalah kehidupan yang berharmoni."

Sehubungan itu kata beliau, pihak sekolah boleh memainkan peranan dalam meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan murid.

 
 
(UKK 10 Jun 2019)
  • Hits: 3792

Ikuti kami di media sosial rasmi:

© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 04 Oktober 2023, 15:35.