Tiga Pelan Intervensi Bagi Menangani Isu Kesamarataan Gender Dalam Kalangan Murid
YB Puan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Kulai hari ini telah merasmikan Sesi Townhall Program Kesamarataan Gender Daerah Kulai Tahun 2019 di SMK Bukit Baru, Kulai Johor.
Forum diadakan dengan matlamat untuk mengurangkan sebanyak 25 peratus jurang pencapaian akademik berdasarkan latar belakang, sosioekonomi dan jantina menjelang tahun 2020.
Analisis jantina berdasarkan unjuran purata Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari tahun 2015 hingga 2017 bagi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai jelas menunjukkan bahawa kadar kemenjadian murid perempuan lebih tinggi daripada murid lelaki.
YB Puan Teo berkata, "pihak Kementerian telah mengenal pasti tiga pelan intervensi bagi menangani isu kesaksamaan gender antara pelajar."
Pertama ialah menggalakkan penerapan modul kasih sayang, hormat-menghormati dan kegembiraan dalam pembentukan sahsiah diri murid khasnya lelaki.
Kedua, menerapkan nilai Pembelajaran Abad ke-21 dengan mengaplikasikan High Order Thinking Skill (HOTS) dengan melaksanakan sistem pendidikan yang kondusif dan berpaksikan murid. Ketiga, menggabungjalinkan sistem pendidikan teknologi dan komunikasi (IT) secara holistik dan lebih berdaya saing serta membentuk lingkaran program Manusiawi Generasi Alfa kepada feder school agar dapat membentuk kemenjadian sahsiah murid khasnya lelaki.
Terdahulu, satu sesi forum kesaksamaan gender telah diadakan di antara pelajar, pengetua, wakil PIBG, dan wakil agensi Kerajaan bagi mengupas isu kesamarataan gender dan isu semasa dalam kalangan pelajar terutama di daerah Kulai.
Sesi Forum tersebut turut dihadiri oleh ketua-ketua jabatan, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), wakil komuniti, pengetua dan guru besar serta pelajar-pelajar sekolah Daerah Kulai.
- Hits: 8117