Sumbangan Exxonmobil Bagi Pembangunan Pendidikan STEM Dan GENIUS

Syarikat ExxonMobil telah menyampaikan dana RM125,000 masing-masing bagi pelaksanaan program Inquiry Based Science Education (IBSE) dan pembiayaan kos bagi menghantar wakil Malaysia ke pertandingan International Mathematics Olympiad (IMO) di Bath, United Kingdom.

Sumbangan disampaikan oleh Naib Presiden dan Pengarah Kewangan ExxonMobil, YBrs En. Ernest Miller kepada Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Puan Teo Nie Ching bertempat di Putrajaya semalam.

Dana yang disumbangkan akan digunakan oleh Pusat STEM Negara bagi melaksanakan bengkel latihan IBSE Fasa 3 yang melibatkan peserta seramai 1,200 orang guru sains sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Program pembelajaran secara inkuiri merupakan salah satu program utama yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meningkatkan kompetensi guru dalam melaksanakan PdP mata pelajaran bidang STEM, terutamanya Sains dan Matematik.

Penyertaan dalam pertandingan International Mathematics Olympiad (IMO) diuruskan oleh Bahagian Genuis, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dalam ucapan, YB Puan Teo berkata, pengukuhan STEM merupakan inisiatif utama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

"Sokongan pemain gergasi industri kepada dasar-dasar kementerian seperti inisiatif Exxonmobil ini adalah sangat penting dan bermakna buat KPM," tambah beliau.

KPM berharap sumbangan pihak industri seperti ExxonMobil ini dilipatgandakan dalam membantu kementerian meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia.

Ia seiring inisiatif yang terkandung dalam PPPM 2013-2025 iaitu melibatkan sektor korporat dalam pembangunan pendidikan di Malaysia melalui inisiatif Public Private Partnerships (PPP).

Turut hadir Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM, YBrs Dr. Ahmad Rafee Che Kassim dan Setiausaha Bahagian Genius KPM, YBrs Dr. Noraisah Spahat.

 
 
(UKK 5 Julai 2019)
  • Hits: 5277

Ikuti kami di media sosial rasmi:

© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 29 September 2023, 15:09.