SK Pulai Emas dan SMK Pulai Jaya, Johor bakal beroperasi pada 1 Julai 2020

Penduduk di sekitar Taman Pulai Jaya, Taman Pulai Emas, Pulai Perdana 2 dan Kangkar Pulai boleh menarik nafas lega apabila sekolah rendah dan menengah yang sedang dalam pembinaan bakal beroperasi sepenuhnya pada 1 Julai 2020.

YB Teo Nie Ching meluangkan masa kira-kira dua jam semalam bagi mendengar taklimat daripada konsultan dan pemaju projek.

Beliau turut dibawa meninjau kemajuan projek kedua-dua buah sekolah tersebut. Turut hadir YB Tuan Mohd Salihan Badri, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Insfrastruktur Negeri Johor.

Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Emas mampu menempatkan sehingga 1,200 orang pelajar dengan kos pembinaan sebanyak RM29.7 juta manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulai Jaya pula mampu menempatkan 1,700 orang pelajar dengan kos pembinaan RM40.4 juta.

YB Puan Teo berkata, "Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memberi keutamaan untuk membina sekolah baharu di kawasan yang mempunyai keperluan supaya para pelajar mempunyai akses kepada pendidikan di bandar mahupun di luar bandar."

Tambah beliau,"KPM sentiasa komited dalam memastikan pembangunan sekolah di semua negeri amnya dan Johor khasnya demi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk tujuan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Di akhir lawatan beliau turut berharap komitmen dan koordinasi erat yang diperlihatkan oleh KPM dan Jabatan Kerja Raya, Pejabat Exco Kerajaan Negeri serta Pejabat Pendidikan Negeri Johor akan memberi manfaat kepada 
warga pendidik, pelajar dan komuniti setempat secara keseluruhannya.

 
 
(UKK 16 Jun 2019)
  • Hits: 8629

Ikuti kami di media sosial rasmi:

© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 08 Jun 2023, 15:53.