Sesi 'Town Hall' YB Dr Maszlee Bersama Warga USM
Penetapan hala tuju pendidikan berteraskan nilai iaitu kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati adalah sangat tepat dalam usaha menjadikan ia sebagai teras pendidikan.
Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik berkata demikian pada Majlis Townhall Bersama Warga Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang petang tadi.
YB Dr. Maszlee turut berkata KPM telah berusaha secara berterusan dalam mentransformasikan peranan institusi pendidikan tinggi untuk menyumbang jasa bakti kepada masyarakat melalui kerjasama di antara institusi pendidikan tinggi, masyarakat setempat, industri dan agensi Kerajaan.
"Untuk tujuan ini cadangan untuk menubuhkan University for Society akan diwujudkan di semua peringkat negeri bagi merakyatkan universiti kepada masyarakat untuk kesejahteraan setempat," tambah beliau.
Malah YB Dr. Maszlee turut yakin USM dapat memainkan peranan University for Society secara efisien dan membawa manfaat serta impak yang positif kepada masyarakat setempat di seluruh negara.
Selain berucap di hadapan lebih 400 orang warga USM, YB Dr. Maszlee turut berdialog dengan hadirin.
Turut hadir Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail serta Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin.
Pertemuan bersama warga USM hari ini merupakan sebahagian daripada sesi libat urus beliau dengan pemegang-pemegang taruh Universiti Awam (UA). Proses libat urus ini melibatkan pelbagai pihak berkepentingan iaitu kakitangan akademik, kakitangan bukan akademik, kesatuan dan juga mahasiswa.
Sesi yang berlangsung di Dewan Budaya bertindak sebagai satu platform interaksi dengan warga USM, selain bagi menjelaskan dasar dan inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), khususnya sejak YB Dr Maszlee menerajui Kementerian dalam memacu sistem pendidikan tinggi ke arah bertaraf global.
Sepanjang setahun yang lalu, KPM telah menggerakkan sembilan teras utama selaras dengan pendekatan “Pendidikan Untuk Semua” iaitu manfaat untuk warga B40, guru sebagai fokus utama, murid sebagai tonggak, komitmen menangani isu sekolah daif, perhatian penuh kepada Orang Kurang Upaya, kewibawaan institusi pendidikan tinggi, peningkatan kerjasama dalam pendidikan tinggi swasta, pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dan pemerkasaan bahasa, budaya dan sastera.
Di bawah teras yang berkaitan dengan kewibawaan institusi pendidikan tinggi, usaha sedang diambil untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Seksyen 15(2)(c) AUKU telah pun dimansuhkan pada Disember 2018. Kajian pemansuhan menyeluruh AUKU sedang dijalankan dan satu akta baharu sedang dirangka untuk dibentangkan di Parlimen pada tahun 2020.
Selain itu, mandat juga telah diberikan kepada pelajar di semua UA untuk mengendalikan sendiri Pilihan Raya Kampus mereka. Kesatuan Pelajar atau Students' Union akan diwujudkan di semua UA. Sehingga kini, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah melaksanakannya dan UA yang lain sedang dalam proses pelaksanaan.
YB Dr Maszlee juga telah memutuskan untuk meraikan 5 Oktober setiap tahun sebagai Hari Akademia bagi menghargai jasa pensyarah.
Inisiatif yang turut telah diperkenalkan termasuklah menjadikan Institusi Pendidikan Tinggi sebagai medan intelektual terbuka di mana pemimpin politik daripada pelbagai latar belakang parti dan ideologi dibenarkan tampil di UA untuk berinteraksi dengan mahasiswa, dan ruang bagi melantik wakil pelajar untuk menganggotai Senat UA sebagai suara mahasiswa.
- Hits: 3826