YB Puan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Menyempurnakan Program Selangkah Ke Menara Gading
Bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kulai 2, Kulai, Johor telah berlangsung Program Selangkah Ke Menara Gading hari ini.
Program sehari ini melibatkan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Politeknik, Matrikulasi, Kolej Vokasional, Institut Pendidikan Guru (IPG), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Puan Teo Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai. Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Kulai En Zainal Buang.
YB Puan Teo dalam ucapan beliau berkata, program seperti ini penting kepada calon-calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang telah memperoleh keputusan baru-baru ini untuk mendapatkan maklumat berkaitan kemasukan ke Institut Pendidikan Tinggi.
"Ini adalah satu tempoh yang amat penting untuk kita memastikan bahawa maklumat-maklumat yang betul dan boleh disampaikan kepada pelajar -pelajar supaya mereka boleh membuat pilihan yang baik pada masa akan datang," tambah beliau.
Selangkah Ke Menara Gading merupakan tanda usaha, sokongan dan komitmen KPM dan Bahagian Parlimen Kulai dalam mempromosi dan menggalakkan pelajar-pelajar serta Lepasan SPM dan STPM melanjutkan pengajian di peringkat seterusnya. Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada calon-calon atau pemohon berkomunikasi secara langsung dengan agensi dan jabatan di bawah KPM dalam memilih tempat pengajian yang sesuai dengan aliran dan keputusan peperiksaan yang telah diperolehi.
Berdasarkan rekod daripada Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, seramai 3,959 orang calon telah menduduki peperiksaan SPM tahun 2018 berbanding seramai 4,109 calon menduduki peperiksaan yang sama pada tahun sebelumnya. Manakala di peringkat STPM di Daerah Kulai, seramai 417 telah menduduki peperiksaan berkenaan pada tahun lalu berbanding pada tahun 2017 iaitu seramai 388 orang.
(UKK 24 Mac 2019)
- Hits: 4286