Sambutan Jubli Emas: Alumni Politeknik Ungku Omar Lancar Dana Ungku Omar

Bersempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Politeknik Malaysia, Persatuan Alumni Politeknik Ungku Omar (PUO) telah melancarkan Dana Ungku Omar pada majlis makan malam bersempena sambutan itu di Ipoh.

Dana ini akan menaungi tiga tabung utama di bawah Politeknik Ungku Omar iaitu Tabung Amanah Zakat, Tabung Wakaf dan Tabung Pembangunan Pusat Islam.

Dana ini akan menjadi platform untuk warga PUO, alumni, individu, agensi kerajaan dan korporat menyumbang ke arah kelestarian pendidikan melalui medium tabungan yang patuh syariah.

Penyampaian Anugerah Ikon Alumni Politeknik Malaysia turut diadakan semalam iaitu Ikon Alumni Sektor Awam dan Kerajaan, Ikon Alumni Keusahawanan, Ikon Alumni Selebriti, Ikon Alumni Sukan, Ikon Alumni Sukan (Kurang Upaya), dan Ikon Alumni Keusahawanan (Kelainan Upaya).

Ikon Alumni Sektor Awam dan Kerajaan dianugerahkan kepada Ketua Polis Negeri Kedah, Dato’ Zainuddin Yaacob manakala Yang Dipertua Persatuan Alumni PUO, Ir. Mazelan Mansor menerima anugerah Ikon Alumni Keusahawanan.

Pelawak terkenal Acey Bocey pula menerima anugerah Ikon Alumni Selebriti. Manakala Ikon Alumni Sukan menjadi milik 'Malaysia Rock Climber’ Mohamad Redha Rozlan.

Bagi kategori kelainan upaya, anugerah Ikon Keusahawanan (Kelainan Upaya) menjadi milik Nik Mohd Tarmizi Nik Mohd Noor dan Ikon Alumni Sukan (Kelainan Upaya) dianugerahkan kepada pemain bola keranjang paralimpik negara, Ahmad Nazri Hamzah.

Majlis itu dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg Dato' Dr Mohd Gazali Abas dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), YBhg. Prof. Dato' Ts. Dr. Mohd Ismail Abd Aziz.

 

(UKK 6 Apr 2019)

  • Hits: 3909

Ikuti kami di media sosial rasmi:

© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 22 September 2023, 15:47.