Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2021

Selamat Hari Guru kepada semua guru serta pendidik di Malaysia. Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 yang disambut pada hari ini, 16 Mei 2021 merupakan paling bermakna kerana telah genap 50 tahun semenjak ianya disambut buat kali pertama pada tahun 1972.

 
Dalam Ucapan YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin yang disiarkan serentak di beberapa stesyen televisyen hari ini, sempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2021, telah diumumkan juga dua anugerah khas yang memberi penghargaan kepada tokoh guru. Dua anugerah tersebut adalah Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan. 
 
Puan Hajah Noorizan binti Mohamed yang merupakan mantan Pengetua SMK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan telah terpilih untuk dianugerahkan Tokoh Guru Kebangsaan Tahun 2021. Manakala, dua penerima lagi telah dinobatkan dan dianugerahkan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan Tahun 2021. Penerima anugerah ini merupakan mantan-mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) iaitu YBhg. Dr. Amin bin Senin yang merupakan mantan KPPM dari tahun 2017 hingga 2019 dan YBhg. Dr. Habibah binti Abdul Rahim yang juga merupakan mantan KPPM dari tahun 2020 hingga 2021. 
 
Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai tanda memperingati dan menghargai pengorbanan guru dalam mendidik, membimbing serta membentuk anak bangsa. Tema yang sama telah digunakan pada tahun ini iaitu “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” ini menyentuh peranan guru dalam memperkasakan keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Guru merupakan insan yang sentiasa dahagakan ilmu dan tidak jemu memperlengkapkan dirinya dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran dan nilai sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning). 
 
Kepada semua guru dan pendidik khususnya, andalah pewaris negara bagi membentuk generasi baharu. 
Selamat Hari Guru dan Terima kasih cikgu!
 
  • Hits: 1326

Ikuti kami di media sosial rasmi:

© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 18 Jun 2021, 09:33.