QS World University Rankings 2020: Tahniah Kepada UM, IPT Lain Yang Berjaya Capai Peningkatan
YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia mengucapkan tahniah kepada Universiti Malaya (UM) dan institusi pengajian tinggi Malaysia yang mencatatkan ranking yang lebih baik dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2020 berbanding di tempat ke-87 pada tahun lepas.
UM memperoleh tempat ke-70 berbanding tempat ke-87 pada tahun lepas.
Dalam pada itu, empat lagi Universiti Awam (UA) juga berjaya menunjukkan peningkatan yang membanggakan iaitu Universiti Putra Malaysia di kedudukan ke-159: WUR2020 (2019: 202); Universiti Kebangsaan Malaysia di kedudukan ke-160: WUR2020 (2019: 184); Universiti Sains Malaysia di kedudukan ke-165: WUR2020 (2019: 207) dan Universiti Teknologi Malaysia di kedudukan ke-217: WUR2020 (2019: 228). UPM telah mencapai peningkatan tertinggi dengan melonjak sebanyak 43 tempat, menjadikan kedudukan terkini di tempat ke-159: WUR2020.
Pada siri penarafan kali ini, 20 buah universiti tempatan telah tersenarai iaitu 10 buah universiti berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lepas, dua buah universiti mengekalkan kedudukan, tujuh buah universiti berjaya tersenarai untuk kali pertama dan sebuah universiti jatuh dari kedudukan tahun lepas.
Selain itu, sebanyak 15 lagi institusi pendidikan tinggi tempatan (awam dan swasta) juga berjaya disenaraikan di dalam senarai ‘top 1000’ QS World University Rankings iaitu UCSI, UTP, Taylor’s, MSU, UUM, UIAM, UiTM, UniMAP, Sunway, UMP, MMU, UNIMAS, UNITEN, UTAR dan UMS.
QS Quacquarelli Symonds juga melaporkan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik di dalam ranking kali ini.
Bercakap pada sidang media di Putrajaya hari ini, YB Dr Maszlee berkata, kerajaan berada di atas landasan yang tepat dalam menyediakan institusi pendidikan tinggi yang berkualiti, sejajar dengan perubahan di dalam pendidikan negara menuju ke arah Revolusi Industri 5.0.
"Ia secara tidak langsung menempatkan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi di rantau ini dan seterusnya menjadi destinasi pilihan untuk melanjutkan pelajaran bagi pelajar-pelajar antarabangsa.
"Secara umumnya, ranking bukan menjadi satu keutamaan, namun apa yang lebih penting untuk kita ialah membentuk ekosistem intelektual yang lebih kondusif di semua universiti," kata beliau sambil menambah, "kita mahukan Malaysia menjadi watan kepada universiti yang menghasilkan para akademik berteraskan integriti dan tanggungjawab sosial."
Malah katanya, setiap universiti wajar meningkatkan usaha untuk memberdayakan mahasiswa, menjamin kebebasan akademik, bertanggungjawab dalam memberikan penyelesaian terhadap isu-isu masyarakat dan negara serta menjadi katalis kepada kemakmuran dan pembangunan holistik Malaysia.
"Semua universiti perlu menterjemahkan makna sebenar 'universiti untuk masyarakat'," kata beliau.
Turut hadir pada sidang media, YBhg Dato' Dr Mohd Gazali Abas, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia; YBhg Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi; YBhg Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim, Naib Canselor Universiti Malaya; YBhg Datin Paduka Dato' Prof Dr Aini Ideris, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia dan YBhg Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia. Encik Chong E Way, Pengarah Serantau Asia Tenggara QS Quacquarelli Symonds juga hadir sama.
- Hits: 4282