YB Dr Maszlee Merasmikan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat Dan Premis Sementara Kolej Komuniti Di Simpang Renggam

Majlis Pelancaran Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dan Pengoperasian Premis Sementara Kolej Komuniti Simpang Renggam telah berlangsung di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Bandar Renggam, Johor siang tadi.
 
Majlis telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik.
 
Berfungsi sebagai institusi pendidikan yang membekalkan kemahiran yang secukupnya kepada rakyat dan komuniti, Kolej Komuniti juga berfungsi untuk membangunkan komuniti setempat dengan memperkenalkan program kemahiran dan teknologi terkini kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira pangkat dan kelayakan.
 
YB Dr. Maszlee berkata, konsep yang ingin dibawa oleh Kolej Komuniti ini adalah memberikan peluang kepada komuniti untuk belajar dan mencapai kejayaan yang diimpikan serta diberikan peluang bagi meningkatkan kemahiran untuk lebih berjaya.
 
"Ucapan terima kasih dan tahniah saya tujukan kepada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dan semua Jawatankuasa pelaksana dan semua agensi yang terlibat dalam menjayakan Majlis Pelancaran Kursus Pembelajaran Sepanjang (PSH) Hayat dan Pengoperasian Premis Sementara Kolej Komuniti Simpang Renggam," kata beliau.
 
Untuk rekod pada tahun 2018, kolej komuniti melalui program Pembelajaran Sepanjang Hayat telah berjaya melaksanakan sebanyak 12,434 program dengan penyertaan sebanyak 26,370 penyertaan. Antara golongan sasar program PSH adalah belia, B40, ibu tunggal, OKU, warga emas dan Orang Asli.
 
Terdahulu YB Dr. Maszlee meluangkan masa meninjau kursus-kursus jangka pendek yang ditawarkan di PKG tersebut.
 
Turut hadir sama pada sesi program dan lawatan berkenaan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), YBhg Prof Dato' Ts. Dr. Mohd Ismail Abd Aziz.
 
 
 
(UKK 14 April 2019)
  • Hits: 4007

Ikuti kami di media sosial rasmi:

© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 25 September 2023, 11:33.