Pos Malaysia Sedia Khidmat Penterjemahan, Sudut Bacaan dan Jualan Buku
Pos Malaysia dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) melancarkan kerjasama strategik untuk menyediakan sudut bacaan, penjualan buku dan khidmat penterjemahan di kaunter Pos Malaysia seluruh negara.
Kerjasama julung kali ini mendapat reaksi positif Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik yang mahukan lebih banyak pihak swasta mengembleng tenaga bersama Kementerian Pendidikan Malaysia serta agensinya untuk merancakkan lagi kempen #MalaysiaMembaca.
Menurutnya, penyediaan sudut membaca di beberapa pejabat pos merupakan langkah terbaik untuk menggalakkan rakyat Malaysia membaca.
"Apa yang dilaksanakan hari ini merupakan sokongan korporat Pos Malaysia dalam mengaktifkan budaya membaca seperti institusi budaya, Goethe-Institut Jerman yang menjalankan operasi menyebar luas budaya dan Bahasa Jerman dan sejak 60 tahun lalu di 159 pejabat di 98 buah negara," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik ITBM-Pos Malaysia Sempena #MalaysiaMembaca di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah ITBM, YBhg. Datuk Yasmin Mahmood; Pengerusi Lembaga Pengarah ITBM, YBrs Mazmi Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, YBrs Syed Md Najib Md Noor dan Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan ITBM, Sakri Abdullah.
Dalam pada itu, YBrs Syed Md Najib berkata sebagai permulaan bahan terbitan dan khidmat penterjemahan ITBM boleh didapati secara berperingkat di 13 buah pejabat pos besar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Kemudahan ini akan diperluaskan ke cawangan-cawangan kecil di setiap daerah dan kawasan pedalaman secara berperingkat.
- Hits: 3571